KPWKM kerjasama dengan PDRM kenal pasti calon pengasuh - Utusan Malaysia

KPWKM kerjasama dengan PDRM kenal pasti calon pengasuh

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan bakal pengasuh taska tiada rekod jenayah bagi mengelak kejadian dera melibatkan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia penting bagi mengurangkan kes penderaan yang meningkat, sekali gus meletakkan kanak-kanak dalam risiko. 

“Kita juga memberikan prosedur operasi standard (SOP) (kepada taska). Apabila kita dengar banyak kes, kita tambah lagi SOP, bukan untuk menyusahkan tapi mahu membantu taska itu.

“Sebab itu, kita pastikan juga ada kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan kita memantau apa berlaku dalam taska dan memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah diambil kerajaan untuk mengelakkan kes penderaan dan kematian kanak-kanak di taska.

Nancy memberitahu, sehingga Disember tahun lalu, terdapat 265 taska tempat kerja di seluruh negara.

“Jumlah itu meliputi 221 taska yang disediakan majikan di sektor awam, manakala 44 taska lagi disediakan sektor swasta.

“KPWKM melalui JKM sentiasa prihatin dan menggalakkan semua majikan, sama ada agensi kerajaan mahu pun swasta untuk menubuhkan taska di tempat kerja masing-masing.

“Justeru, mana-mana agensi kerajaan atau swasta yang ingin membuka taska di tempat kerja boleh berhubung terus dengan JKM berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai proses dan prosedur yang perlu dilakukan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN