BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi menyifatkan pindaan perlembagaan Parti Bersatu Rakyat Malaysia (Bersatu) yang diluluskan semalam bagi menghalang wakil rakyatnya belot, adalah balasan daripada Allah.
“Saya fikir pindaan yang dibuat oleh parti berkenaan adalah balasan daripada Allah ta’ala.
“(Ia) kerana dulu, Setiausaha Agung parti itu telah membawa Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program ‘mini showcase’ pembangunan Bagan Datuk di Dewan Lope Hashim di sini hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, tanpa sebarang usaha pun daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), enam orang daripada mereka telah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX.
Justeru, beliau menganggap balasan daripada Allah itu akan dilihat biarpun mereka berusaha agar Ahli Parlimen daripada partinya mengosongkan kerusi masing-masing.
Tetapi, menurutnya, sudah tentu pengosongan kerusi itu tidak boleh berlaku kerana ia tertakluk kepada peraturan Parlimen dan juga Perlembagaan negara.
Beliau bagaimanapun menegaskan jika enam Ahli Parlimen itu terpaksa mengosongkan kerusi mereka dan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), BN dan UMNO bersedia menghadapinya.
“Kerusi-kerusi itu dulunya dipegang oleh UMNO, jadi BN akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.
“Pastinya perundingan untuk mendapatkan semula kerusi itu diberi keutamaan kepada calon-calon BN atau UMNO,” ujar beliau.
Semalam, Bersatu berjaya meminda perlembagaan parti itu bagi menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan menerusi satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata menerusi pindaan itu, mana-mana wakil rakyat Bersatu yang belot atau berpaling tadah akan terbatal keahlian mereka dalam parti serta-merta dan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat terlucut dengan sendiri.
Jelasnya, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menghantar surat rasmi kepada enam Ahli Parlimennya yang belot bagi meminta mereka menyatakan pendirian sama ada sah menyokong Perdana Menteri atau tidak.
Jika mereka mengakui menyokong Perdana Menteri, maka jawatan mereka terlucut dan parti itu akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul untuk memaklumkan mengenai perkara itu.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN










