Ketengah terima peruntukan RM48 juta - Utusan Malaysia

Ketengah terima peruntukan RM48 juta

AHMAD Said bergambar bersama pengamal media yang hadir pada majlis berbuka puasa Ketengah bersama media Terengganu di Kuala Nerus, malam tadi. - KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menerima peruntukan sebanyak RM48 juta penyaluran untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di wilayahnya sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia melibatkan 33 program utama dan 137 sub projek yang memberi manfaat kepada lebih 168,000 penduduk di kawasan pentadbirannya.

Menurutnya, antara fokus utama Ketengah ialah untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk dan pelbagai program keusahawanan telah diadakan bagi memastikan matlamat itu tercapai.

“Antaranya kita telah menaiktaraf dan baik pulih sebahagian premis perniagaan serta mewujudkan perkampungan usahawan Ketengah yang telah memberi manfaat kepada 98,303 usahawan Ketengah.

Pembangunan modal insan dan kemasyarakatan turut dilaksanakan oleh Ketengah dalam memperkasakan penduduk agar menjadi generasi yang mampu membawa perubahan.

“Pelbagai program telah dijalankan secara berterusan seperti program ekonomi, keusahawanan dan sebagainya untuk melahirkan penduduk wilayah yang berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis berbuka puasa Ketengah bersama media Terengganu di sebuah hotel di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketengah sangat menghargai sumbangan yang telah dicurahkan oleh pengamal media Terengganu yang terdiri daripada golongan wartawan, editor dan kru teknikal yang terlibat dalam dunia media.

“Tidak boleh dinafikan bahawa peranan pengamal media dalam pembangunan wilayah Ketengah adalah amat signifikan terutama melalui laporan penulisan dan penyampaian berita.

“Ketengah berharap kerjasama dua hala ini akan berterusan agar memberi impak kepada golongan sasar,” katanya.

Ketengah yang ditubuhkan pada 12 April 1973 adalah sebuah agensi yang diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial meliputi daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN