Kesedaran ibubapa jayakan pendidikan berkualiti

Kesedaran ibubapa jayakan pendidikan berkualiti

KOMUNIKASI antara ibu bapa guru dan pelajar boleh menjadi pengupaya kepada pencapaian pendidikan berkualiti . – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini bermulalah sesi pembelajaran anak-anak di sekolah. Sejak seminggu yang lalu, pihak sekolah dan guru-guru telah melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk memberi ruang anak-anak menguasai persekitaran sekolah khususnya murid tahun satu.

Pengalaman pembelajaran secara formal akan bermula minggu ini dan tentunya tanggungjawab menjayakan pembelajaran anak-anak ini bukan hanya kepada guru dan pihak sekolah tetapi juga kepada para ibu bapa dan komuniti.

Dua bulan lalu, Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera telah menjalankan kajian tentang isu-isu pendidikan Bumiputera. Kajian ini telah dijalankan sepanjang bulan Januari dan Februari 2024 kepada lebih 8,000 peserta di seluruh negara untuk dibentangkan di Kongres Ekonomi Bumiputera di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dapatan kajian merumuskan bahawa bagi menjayakan reformasi pendidikan yang benar-benar berkesan, sikap dan peranan ibu bapa menjadi kunci utamanya.

Dapatan kajian ini jelas menunjukkan apabila kumpulan ibu bapa mempunyai sikap positif, terlibat secara aktif dan sentiasa mengambil berat kepada perkembangan pendidikan anak-anak mereka, didapati pencapaian anak-anak akan meningkat dan berada di tahap memuaskan.

Bagaimanapun, bagi kumpulan ibu bapa yang bersikap hanya menyerahkan segala urusan pendidikan kepada guru-guru dan tidak mengambil bahagian secara aktif di dalam urusan pendidikan anak-anak mereka malah lebih membimbangkan tidak menyokong pendidikan anak-anak secara positif, didapati pencapaian pendidikan anak-anak biasanya rendah atau tidak berkembang dengan baik.

Malah jika pihak sekolah tidak melakukan intervensi secara bersungguh-sungguh kepada pendidikan anak-anak tersebut, mereka berkecenderungan untuk tercicir di dalam pendidikan.

Hasil kajian oleh pasukan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan KEB 2024 ini telah diangkat sebagai salah satu resolusi utama di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera dengan menggagaskan pentingnya perubahan sikap dan kesedaran pendidikan dalam kalangan ibu bapa khususnya daripada keluarga B40.

Ibu bapa disarankan untuk segera mempunyai sikap positif dengan memberikan keutamaan kepada pendidikan anak-anak secara berterusan sejak prasekolah hingga di alam universiti.

Antara yang paling terkenal ialah Profesor Dr. Joyce Epstein yang menulis sebuah buku terkenal bertajuk School, Family, Community Patnerships: Caring For The Children We Share pada tahun 1995.

Menurut beliau, terdapat enam cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penglibatan ibubapa yang akan memberikan kesan yang baik kepada pendidikan anak-anak di sekolah.
Cara yang pertama ialah dengan membina kemahiran keibubapaan. Ini bermaksud ibubapa mesti dididik sehingga mereka bersedia untuk mengutamakan persekitaran rumah yang selamat, selesa dan menggembirakan anak-anak.

Perkembangan fizikal yang sihat dan emosi yang stabil dari rumah akhirnya akan mempengaruhi psikologi dan motivasi pembelajaran anak-anak apabila mereka mula bersekolah.
Ketiga, sekolah mestilah bersedia membuka lebih banyak ruang bagi membina kesediaan ibu bapa untuk bersama-sama dengan aktiviti sekolah secara sukarela.

Cara ini juga didapati meningkatkan pencapaian dan karakter anak-anak.

Ibu bapa yang hadir ke aktiviti sekolah secara berkala, terlibat aktif dan ikut serta bersama-sama para guru menjayakan sesuatu aktiviti di sekolah akan memberi kesan kepada cara anak-anak belajar dan bertingkah laku di sekolah.

Anak-anak ini didapati mudah fokus dalam pelajaran, sentiasa memberikan perhatian kepada pengajaran guru dan berdisiplin. Anak-anak sering melihat penglibatan ibu bapa mereka di dalam aktiviti sekolah sebagai sokongan keluarga kepada mereka dan merasa gembira dengan persekitaran tersebut.

Malah dalam kajian beliau, Profesor Dr Joyce Epstein juga menegaskan bahawa guru yang mempunyai komunikasi secara berkesan dengan para ibu bapa akan lebih memberikan perhatian kepada pembelajaran anak-anak dari keluarga tersebut.

Keempat, sekolah harus melihat bahawa penglibatan ibu bapa bukan sekadar penglibatan ibu bapa dalam bentuk komunikasi dan aktiviti di sekolah sahaja.

Malah, aktiviti belajar di rumah bersama ibu bapa menunjukkan kesan positif kepada pencapaian murid-murid.

Kelima, bagai meningkatkan lagi penglibatan ibu bapa, pihak sekolah disarankan untuk lebih bersikap terbuka bagi membuka ruang kepada ibu bapa bersama-sama membuat keputusan yang memerlukan pandangan dan input mereka.

Penglibatan ibu bapa dalam membuat keputusan khususnya keputusan berkaitan kesejahteraan dan keseronokan pembelajaran anak-anak adalah penting dalam membina hubungan sekolah dan ibubapa.

Misalnya dalam konteks Malaysia, keputusan sama ada kantin perlu atau tidak untuk dibuka pada bulan puasa sepatutnya melibatkan pandangan para ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan bukanlah hanya daripada pihak sekolah sahaja.

Cara keenam yang disarankan oleh Profesor Joyce Enstein untuk meningkatkan keterlibatan ibu bapa di sekolah ialah dengan membawa lebih ramai komuniti setempat dalam aktiviti sekolah.

Menarik juga untuk kita fahami dan hayati pepatah masyarakat Afrika Barat yang berbunyi ‘it takes a village to raise a child’ . Menjayakan agenda pendidikan berkualiti memerlukan usaha dari semua pihak. Tidak mungkin agenda ini hanya diserahkan kepada pihak sekolah dan guru sahaja. Ibu bapa dan komuniti juga mempunyai tanggungjawab dalam menjayakan pendidikan anak-anak. – UTUSAN

Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengerusi, Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan,
Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN