PETALING JAYA : Polis merekodkan sebanyak 1,609 kes kemalangan berbanding 1,709 kes pada kemalangan kelmarin di seluruh negara.
Angka itu sekali gus menunjukkan penurunan kes kemalangan yang direkodkan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, bagaimanapun kes kematian mencatatkan peningkatan iaitu 18 kematian semalam berbanding hanya tujuh kematian sehari sebelumnya.
Kes kemalangan menurun 181 kes berbanding 1,709 kes (Jumaat) manakala kes kematian meningkat 11 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, tindakan penunggang motosikal melarikan diri daripada ditahan anggota peronda lebuh raya (EMPV) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban disebabkan menyimpan dadah di dalam poket seluarnya.
Penahanan kira-kira pukul 9.40 malam itu, anggota EMPV membuat rondaan dan penyuraian trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.
Menurut beliau, semasa berada di stesen minyak Hentian Nilai arah selatan, anggota terlihat penunggang Honda EX-5 cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun lelaki terbabit terbabas dan anggota polis kemudian membuat pemeriksaan.
“Pemeriksaan ke atas tubuh suspek menjumpai bekas warna hitam yang dikeluarkan dari poket seluar jeansnya,” ujarnya.
Mohd Azman berkata, pemeriksaan mendapati bekas itu mengandungi aluminium foil, RM10 yang digulung dan dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki heroin.
“Peronda jalankan tangkapan dan rampasan terhadap suspek kerana memiliki dadah sebelum diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
“JSPT akan terus memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya bagi memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap polis,” katanya. – UTUSAN










