SANDAKAN: Biarpun UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah telah mengadakan perbincangan mengenai kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) namun, belum ada keputusan muktamad yang dibuat setakat ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mereka mengambil langkah berhati-hati sebelum memutuskan rakan kerjasama untuk menghadapi PRN ke-17 yang akan datang.
“Memang ada perbincangan dilakukan namun, berbincang dan memutuskan adalah dua perkara berbeza.
“Kita ingin melihat mana-mana parti yang kita rasa boleh membawa keuntungan dan kita harap pemimpin parti itu juga menghormati parti dalam membuat sebarang keputusan.
“Umno/BN Sabah akan menjalin kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian bersama.
“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi ada krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah,” katanya semasa Program Gerak 17 UMNO Sabah DUN Sungai Manila baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, bagi menghindari ‘pisang berbuah dua kali’, UMNO dan BN Sabah mengambil langkah lebih berhati-hati menjelang PRN akan datang.
Kata beliau, kejadian sebelum ini menjadi iktibar. Apabila sumbangan serta jasa UMNO/BN bagi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk selepas PRN-16 telah dinafikan.
“Kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa lalu. Biarpun pada ketika itu, kita tinggal serumah namun bilik asing-asing. Maka, kali ini kita tidak mahu lagi selepas berunding nanti, kita dikhianti,” katanya.
Hadir sama adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin, Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir dan ADUN Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat. – UTUSAN











