Kerja meroboh Stadium Shah Alam bermula Mei

Kerja meroboh Stadium Shah Alam bermula Mei

Stadium Shah Alam yang kini kelihatan usang akan dirobohkan bermula Mei ini untuk memberi laluan kepada pembinaan kompleks sukan yang baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kerja perobohan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka dilaksanakan pada Mei ini selepas pemajunya, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) diberi tempoh tiga bulan untuk mematuhi syarat kontrak.

Tempoh tersebut bermula selepas perjanjian persefahaman (MoU) antara pemaju itu dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) ditandatangani pada awal Februari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Saipolyazan M. Yusop berkata, pemaju akan meneruskan kerja-kerja perobohan selepas pematuhan terhadap syarat-syarat yang dikenakan dibuat.

Menurutnya, dalam masa sama, MBI yang mewakili kerajaan negeri dan pemaju akan berunding dan menyediakan kontrak bagi kerja-kerja pembinaan kompleks yang baharu.

“Ambil masa setahun untuk robohkan, dalam masa sama kita menyediakan kontrak pembangunan stadium. Jadi kita buat berasingan supaya kepentingan kerajaan negeri dan MBI sebagai yang melaksanakannya terpelihara.

“Kita roboh dahulu kemudian kita cari kaedah cara bayaran, pulangan dan sebagainya dalam masa setahun. Kita cuba dalam masa setahun, tiga bulan. Tiga bulan untuk perancangan perobohan.

“Kemudian setahun untuk robohkan, kita cuba cepatkan dan dalam waktu sama kita memang dalam proses perbincangan dengan pihak pemaju untuk memastikan dalam tempoh setahun (kontrak) dapat dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Ramadan Kepada Masjid dan Surau Sungai Air Tawar, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan MoU antara MRCB dengan MBI adalah persetujuan peringkat pertama menerusi surat penganugerahan (LOA) yang di­serahkan pada 6 Februari lalu.

Persetujuan tersebut adalah bagi kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam sebelum persetujuan seterusnya dijangka ditandatangani pada akhir tahun ini.

Pada majlis tersebut, Saipolyazan dalam ucapannya memberitahu, pembinaan stadium dengan kompleks yang baharu dirancang rapi supaya ia tidak lagi memerlukan peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Jadi, niat kita hendak buat semula sebab hendak kecilkan saiznya supaya stadium pada masa akan datang tidak memerlukan peruntukan daripada kerajaan negeri. Stadium akan ada padang yang boleh ditutup, kalau ada program lain tak akan rosak padangnya dan macam-macam lagi.

“Termasuk pembinaan pusat beli-belah yang menjual peralatan sukan, hotel berhampiran Stesen LRT dan banyak lagi pe­rancangan yang kita buat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN