KUALA SELANGOR: ‘Delay tactic’ dipercayai akan digunakan kerajaan bagi memastikan enam Ahli Parlimen daripada Parti Bersatu yang menyokong Perdana Menteri tidak dilucut jawatan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan kini dilihat berusaha melambatkan proses PRK sehingga mencapai mandat pentadbiran selama tiga tahun.
“Kerajaan ini saya nampak akan berlaku delay tactic itu sehingga tempoh tiga tahun.
“Kalau diisytiharkan (kerusi) kosong sekali pun, maka sudah tiada lagi PRK nanti,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Salam Relief di Madrasah Tahfiz Haji Omar, hari ini.
Bagaimanapun, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu menambah PRK agak mustahil untuk dilaksanakan ketika ini.
“Pengumuman kekosongan kerusi ini melibatkan dua pihak iaitu Speaker Dewan Rakyat dan mahkamah. Speaker akan memberi notis kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) namun saya tidak fikir speaker akan mengumumkan kekosongan kerusi tersebut,” jelasnya.
Namun, Noh turut memberitahu, satu lagi proses menerusi perundangan, namun ia dijangka memakan tempoh masa lama.
“Kalau pergi (kes) mahkamah pun, saya nampak ia perlu diselesaikan sebelum tiga tahun dan jika selepas tempoh ini, memang tak perlu diadakan PRK,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, beliau akan memastikan kemenangan calon daripada Perikatan Nasional (PN) jika berlaku PRK di enam kawasan termasuk Parlimen Tanjong Karang.
“Siapa saja jadi calon kita akan sokong dan sudah tentu kita akan pastikan bahawa Parlimen Tanjong Karang ini dimenangi PN,” katanya. – UTUSAN










