PASIR MAS: Enam pesawah mendakwa kerugian RM50,000 selepas 20 hektar padi yang diusahakan mereka musnah apabila kawasan bendang kering akibat kemarau sejak seminggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati selain sawah yang merekah akibat ketiadaan belakan air, tumbesaran padi turut terbantut.
Seorang petani, Ismail Mat Yusof, 49, berkata, jika masalah tersebut berterusan, kemungkinan besar padi yang ditanamnya hanya mampu bertahan seminggu lagi.
Menurutnya, para petani di sini sudah sehabis daya berusaha untuk menyelamatkan tanaman itu dengan menyedut air dari kawasan berlopak.
“Bagaimanapun usaha tidak banyak membantu disebabkan cuaca kering,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Bechah Semak, Abdul Halim Abu Bakar memberitahu, ketiadaan kemudahan sistem pengairan yang baik menyebabkan sawah menjadi kering setiap tahun.
Katanya, pada masa sama, bekalan air sukar sampai ke kawasan itu kerana jaraknya terlalu jauh.
“Musim kemarau sawah kering, musim tengkujuh pula padi ditenggelami banjir. Itu yang dihadapi petani setiap tahun.
“Sebagai mewakili petani, saya harap Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dapat mengambil segara dalam menyelesaikan perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN










