Kejar masa siapkan 20,000 tempahan kek kukus buah

Kejar masa siapkan 20,000 tempahan kek kukus buah

UMI NURADILAH Hasbullah menunjukkan kek kukus buah jenama Yasmeen yang diusahakannya di Kampung Parit Serong Darat, Rambah, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang pengusaha kek kukus buah tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan terus menyambung kerja selepas waktu berbuka puasa.

Umi Nuradilah Hasbullah, 29, bersama-sama empat pekerjanya kini mengejar masa bagi menyiapkan 20,000 bungkus kek kukus buah yang ditempah oleh pelanggan dari seluruh negara.

Kek kukus buah dengan jenama Yasmeen dimulakan dengan modal sebanyak RM400 pada tahun 2019 secara kecil-kecilan di dapur rumahnya selepas meletakkan jawatan sebagai kerani di pejabat peguam.

“Saya berhenti kerja ketika mengandung anak pertama dan menyahut cabaran daripada ibu mentua, Hamidah Abd. Razak yang tidak mahu meneruskan usaha membuat kek kukus buah lagi. Pada awalnya memang bermula dengan kosong, banyak kali gagal dan kek menjadi rosak dan mengukus menggunakan periuk tanpa peralatan yang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Parit Serong Darat, Rambah, dekat sini.

Walau bagaimanapun, kegagalan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar daripada ibu mentuanya sehingga berjaya menghasilkan kek kukus buah dengan betul.

“Awal-awal seperti sudah putus asa kerana banyak kali gagal, namun atas dorongan suami, Mohamad Fahmi Khalid, 33, perniagaan ini terus berkembang sehingga sekarang,” katanya.

Kek kukus buahnya menggunakan perisa daripada buah campuran kering seperti kulit lemon dan buah ceri yang mengambil masa selama empat jam untuk dikukus menggunakan peralatan moden.

Kini Umi Nuradilah mempelbagaikan rasa kek kukus buah dengan menggunakan nanas, strawberi, mangga dan akan datang buah kelapa serta roselle.

“Pejabat Pertanian Daerah Pontian mengajar saya bagaimana untuk membuat buah-buahan tersebut menjadi ‘halwa’ terlebih dahulu sebelum dijadikan bahan kek kukus buah tersebut,” katanya sambil memberitahu kek kukus itu boleh bertahan selama lima bulan.

Kek kukus buah itu juga boleh dijadikan cenderamata bagi majlis pertunangan, perkahwinan serta sambutan hari jadi dan Umi Nuradilah mengakui mampu mendapat jualan kasar antara RM20,000 hingga RM25,000 sebulan, manakala mencecah sehingga RM200,000 pada musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN