PETALING JAYA: Pelakon, Fadhli Masoot mengambil masa enam tahun membina semula keyakinan diri selepas dimalukan di khalayak ramai.
Fadhli yang mesra disapa sebagai Alang itu berkongsi, kejadian yang berlaku di sebuah majlis besar semasa zaman belajar itu membuatkannya trauma untuk tampil di acara lawak secara spontan.
“Semasa zaman belajar dahulu, ada sebuah acara yang sangat besar dan dinantikan oleh semua pelajar di kampus iaitu Mega Spontan. Ia bertujuan melatih kita melontarkan lawak secara spontan dan mengasah pemikiran kritis.
“Waktu itu tahun 2015, saya adalah junior pertama yang diundang untuk menyertai acara itu.
“Tapi ketika membuat persembahan, penonton tak gelak. Kemudian mereka jerit ‘tak kelakar Alang. Apa semua ini? tak kelakar’ membuatkan saya menangis di atas pentas,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Peristiwa tersebut sukar ditelan pelakon Project:High Council itu membuatkannya menangis selama seminggu.
Namun keyakinannya semakin pulih setelah bertemu pengarah Razaisyam di bawah drama Projek: Anchor SPM.
“Keyakinan diri saya memang sudah rosak sejak kejadian itu sampailah saya kenal Razaisyam. Bayangkan setiap kali habis penggambaran saya akan telefon dia dan bertanya kualiti lakonan saya.
“Sampailah satu hari dia pun rimas dan jerit ‘semua okay, stesen suka kau’.
“Akhirnya saya faham, untuk menjadi seorang pelawak mungkin bukan bidang saya. Tapi untuk membawakan karakter yang membawakan naskhah jenaka, saya boleh lakukannya,” katanya.
Merasakan mempunyai kekurangan dari aspek fizikal, pelakon asal Seremban itu tidak bercadang menjadi hero sesebuah naskhah, tapi cukuplah sekadar mempunyai kebolehan membawakan semua jenis watak.
“Jika mahu pergi ke tahap kawan-kawan di Project: High Council itu mungkin sukar kerana saya mempunyai kekurangan dari segi fizikal.
“Namun saya target untuk menjadi pelakon yang versatile membawakan semua jenis watak. Contohnya seperti lakonan terbaharu saya dalam drama Wanita Syurga juga sangat rencam dengan emosi kadang menangis, marah dan kelakar.
“Jadi, saya cuma seimbangkan perkara itu,” katanya.