Itik salai jadi kajian penyimpanan makanan guna sinaran gamma

Itik salai jadi kajian penyimpanan makanan guna sinaran gamma

MOHAMAD Saiful Nizam Jahaluddin menunjukkan itik salai jualannya di Kampung Ibol, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pe­ngusaha produk makanan salai dari Kampung Ibol di sini membuktikan bahawa produk kampung juga mampu memberikan sumbangan dalam bidang akademik dan penyelidikan negara.

Pemilik 48 Salai Smoke House, Mohamad Saiful Nizam Jahaluddin, 39, berkata, dia kini menjadi pembekal kepada produk itik salai kepada pasukan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kajian penyimpanan makanan menggunakan sinaran gamma.

Menurutnya, kepercayaan diberikan pasukan penyelidik itu amat membanggakannya, apatah lagi kajian bertajuk ‘Itik Gammaglow: Itik Salai Sinaran Gamma Untuk Bilik Penyimpanan Suhu dan Pengangkutan’ itu berjaya meraih anugerah emas dalam Hari Penyelidikan dan Inovasi anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mei lalu.

“Saya hanya bantu daripada segi pembekalan produk tetapi apabila kajian itu menang anugerah emas, saya rasa sa­ngat terharu kerana produk kampung juga diberi kepercayaan untuk bantu penyelidikan universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohamad Saiful Nizam me­ngambil keputusan berhenti kerja sebagai penjawat awam demi mahu menyambung wa­risan keluarganya dalam bidang penyalaian makanan, khusus­nya daging dan itik pada tahun 2016.

“Selepas berhenti kerja kerajaan, keluarga meminta untuk sambung perniagaan namun saya ingin membuatnya atas jenama saya sendiri.

“Sebelum ini keluarga saya sudah berniaga hampir 20 tahun tanpa ada jenama tetap. Apabila saya ambil alih, saya jenamakan semula dan beri identiti kepada kedai namun resipi asal keluarga itu masih dikekalkan,” katanya.

Jenama itu masih me­ngekalkan kaedah penyalaian tradisional menggunakan tempurung kelapa dan pe­nyalaian secara terbuka bagi mengekalkan keaslian rasa.

Bagi menarik perhatian pembeli, dia meletakkan patung itik di sekeliling kedainya di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Tanjung Ipoh di sini sehingga turut tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN