PETALING JAYA: Kajian cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri mula dibuka dari 21 hingga 28 Januari ini bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen, penjawat awam, masyarakat sivil dan orang awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, maklum balas yang diterima akan dijadikan input penting bagi membantu kerajaan membuat keputusan dasar yang seimbang, berasaskan bukti dan selaras dengan Perlembagaan Persekututuan.
“Cadangan ini melibatkan pertimbangan penetapan had maksimum jawatan Perdana Menteri sama ada berdasarkan bilangan penggal atau jumlah tahun perkhidmatan.
“Antara perkara yang sedang diteliti termasuk kaedah pengiraan tempoh perkhidmatan, kesan terhadap kesinambungan pentadbiran negara serta pemeliharaan peranan dan kuasa institusi Raja Berperlembagaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Perdana Menteri berkata, RUU itu antara langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini. – UTUSAN











