KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) akan membayar kira-kira RM560,000 gaji semasa dan tunggakan gaji pekerjanya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ketetapan itu antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KAHB pada Ahad lepas.
Beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk menutup operasi syarikat KAHB pada hujung bulan ini selain membayar faedah penamatan dan gaji ganti notis dalam tempoh tiga bulan mulai Mac tahun ini.
“Pekerja telah dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh bagi tuntutan gaji terhadap majikan dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 atas kesalahan pembayaran gaji lewat.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 di bawah Seksyen 99A Akta yang sama,” katanya di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan, JTKSM mengeluarkan notis kepada KAHB berhubung tunggakan gaji 24 pekerja sejak September. – UTUSAN










