PETALING JAYA: Empat pelajar Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila meraih dua pingat emas serta tempat kedua dalam Kategori Kejuruteraan Sekolah Rendah di Bangkok Innovation Awards.
Pelajar yang mencipta kejayaan tersebut ialah Y. Ilaneyan dan M. Theerchanna dari SJKT KO Sarangapany, serta Y. Ilanarun dan M. Elamaaran dari SMK Sultan Badlishah.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan generasi muda negara untuk bersaing di peringkat global.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan bahawa generasi muda kita memiliki idea kreatif dan berimpak tinggi yang mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, kejayaan berkenaan turut menjadi simbol keupayaan generasi muda dalam mengangkat martabat negara melalui inovasi serta kecemerlangan akademik.
Menurut beliau, pengorbanan keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan anak-anak.
“Pengorbanan dan dorongan keluarga adalah tulang belakang kepada kejayaan anak-anak ini. Ia membuktikan bahawa kejayaan bukanlah usaha individu semata-mata, tetapi hasil sokongan kolektif yang padu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi detik menyentuh hati apabila pelajar berkenaan meminta tandatangannya sebagai kenangan.
“Walaupun tidak dijangka, saya menerimanya sebagai satu penghormatan besar.
“Saya sempat menitipkan kata-kata semangat agar mereka terus melangkah jauh dalam perjalanan masa depan yang cerah,” katanya.– UTUSAN










