Kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah jenayah terancang

Kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah jenayah terancang – Pendakwa Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Persekutuan semalam, kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah, tujuh tahun lalu, adalah jenayah terancang yang mengorbankan nyawa 23 penghuninya yang ditemukan rentung sehingga tidak dapat dicam oleh pihak bomba.

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman yang sangat serius kerana dibakar hidup-hidup manakala sebahagiannya lemas akibat terhidu asap.

Hujah beliau, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram diletakkan di hadapan pintu bilik asrama yang merupakan satu-satunya jalan keluar, sebelum gas dilepaskan ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

“Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

“Perbuatan pelaku merupakan jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam,” ujar beliau ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah.

Lelaki berkenan merayu perintah bahawa dia ditahan di penjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia di antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz itu.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat mangsa dalam keadaan rentung dan mengerekot sambil berpelukan selepas dibakar hidup-hidup. Mereka tidak mampu keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Ujar Mei Ling, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

“Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan, yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan,” ujar beliau.

Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran tersebut.

Hujah beliau, perayu merupakan pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan itu SP68 dan SP69.

Ujarnya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar berhujah, keterangan ikut keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.

Hujah peguam bela, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

“Mereka hanya berbual untuk main ‘snuker’ dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan ‘belilah petrol’ daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

“Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada pukul 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV menunjukkan anak guam saya telah beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN