PUTRAJAYA: Sikap kalangan Orang Asal Sabah yang enggan menghantarkan anak tinggal di asrama sekolah rendah menyebabkan mereka masih lagi ketinggalan dalam pendidikan.
Ia didedahkan Penasihat Lembaga Amanah Rakan Pertubuhan Masyarakat Sabah (Pacos), Claudia Benedict Lasimbang dan kanak-kanak itu terpaksa berjalan amat jauh ke sekolah.
Ketika menjadi ahli panel slot Diskusi Madani 2 bersempena dengan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, beliau berkata, wanita kelompok itu risau anak tinggal berjauhan.
“Berbeza jika di Semenanjung apabila ramai yang berebut mahu masuk anak ke sekolah berasrama agar belajar hidup berdikari tetapi di Sabah pula situasi terbalik,” kata beliau menerusi slot bertemakan Mendepani Cabaran Menoktahkan Kemiskinan Tegar dihoskan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed.
Pacos merupakan organisasi sukarela berasaskan komuniti yang terlibat aktif dalam isu kemajuan masyarakat Orang Asal sejak 1987 dan melibatkan sejumlah 23 daerah di Sabah.
Mengulas lanjut, Claudia berkata, kelompok berkenaan bukan mahu hidup terpencil jauh di pedalaman, tetapi bimbang anak mereka di asrama itu tidak dapat dijaga dengan baik.
Keadaan tersebut ujarnya, mengakibatkan ada kalangan mereka sanggup meninggalkan penempatan di hutan untuk membina kediaman sementara yang bersebelahan sekolah.
“Senario ini mewujudkan seperti kawasan setinggan amat daif di tepi asrama dan apabila cuti sekolah, mereka balik semula asal ke pedalaman yang terbiar lama itu,” tambahnya.
Justeru beliau berpendapat, sudah tiba masanya semua pertubuhan bukan kerajaan di Sabah untuk bekerjasama dalam melaksanakan kempen kesedaran mengenai isu berkenaan.
Pada masa sama, beliau menyambut baik jika ada agensi kerajaan yang boleh membantu mereka untuk mengarusperdanakan pembangunan komuniti Orang Asal di negeri itu.
Masyarakat bumiputera ini jelas Claudia, mempunyai pandangan dunia berbeza daripada penduduk moden di bandar kerana gaya hidup yang kuat berteraskan sistem tanah adat.
Keadaan tersebut menyebabkan mereka seolah-olah mahu tinggal berasingan daripada dunia luar kerana menganggap hanya itulah cara terbaik memelihara budaya dan bahasa.
“Situasi sebegini merugikan mereka dalam jangka panjang apabila tersisih dan kurang peluang bagi rebut pelbagai inisiatif yang ditawarkan daripada pihak kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN










