KEB 2024: Laksana Dasar Peluang Saksama dalam perniagaan

KEB 2024: Laksana Dasar Peluang Saksama dalam perniagaan, pekerjaan

ABDUL Wahid Omar ketika pembentangan sesi libat urus pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan disaran memperkenalkan Dasar Peluang Saksama bagi memberi peluang adil kepada rakyat Malaysia dalam menjalankan perniagaan mahupun dalam pekerjaan.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ini kerana pelaksanaan Dasar Memperkasakan Bumiputera perlu mengambil pendekatan yang lebih universal.

Katanya, perkara tersebut boleh dilaksanakan dengan menerapkan kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI) iaitu semua syarikat dikehendaki melaporkan kepelbagaian Lembaga Pengarah, pengurusan dan eksekutif meliputi tiga kategori iaitu jantina, etnik dan generasi.

“Dasar Peluang Saksama ini bermakna tidak ada diskriminasi dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan. Ini kerana, ada yang merasakan mereka tidak diberi pulang walaupun untuk ditemuduga.

“Kalau ada bukti bahawa mereka didiskriminasi, mereka boleh komplen kepada badan-badan tertentu bagi memastikan mereka tidak tertindas,” katanya dalam sidang akhbar di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, jika dasar tersebut yang dibuat secara sukarela tidak berkesan, kerajaan boleh mengambil langkah untuk menjadikannya sebagai akta.

Abdul Wahid berkata, pelaksanaan dasar tersebut juga diharap dapat membantu meningkat jurang pendapatan isi rumah bumiputera yang masih rendah iaitu pada purata RM2,200 sebulan berbanding kaum Cina pada RM4,000 sebulan, jurang sebanyak 4 peratus lebih rendah.

“Sebelum ini, Dasar Memperkasakan Bumiputera banyak tertumpu pada sektor awam yang mana merangkumi sebahagian besar daripada ekonomi negara pada masa dulu.

“Bagaimanapun pada 2023, sektor awam mengambil contoh sektor pelaburan dan penggunaan awam hanya berjumlah 17.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK), manakala swasta merangkumi 76.2 peratus.

“Jadi, dasar ini perlu dilebarkan kepada sektor swasta kerana jika tidak dilakukan demikian, pencapaian akan terus rendah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, sesi libat urus KEB 2024 juga mencadang Tabung Pemangkin untuk meningkatkan prestasi korporat di peringkat nasional.

Tambahnya, dana ini untuk melabur di syarikat-syarikat yang dibawah nilai tetapi mempunyai potensi yang baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN