PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Jemaah Menteri akan meluluskan cadangan mendedahkan kepada umum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Anwar berkata, secara peribadi beliau terbuka untuk menzahirkan laporan berkenaan kepada pengetahuan rakyat tetapi berpandangan, ia perlu melalui proses sewajarnya dan diputuskan oleh Kabinet.
”Kita akan bawa kepada Jemaah Menteri hari Rabu ini dan saya percaya Jemaah Menteri akan setuju. Saya tidak ada keberatan. Saya setuju laporan itu dizahirkan kepada awam tetapi ia mesti mengikut proses,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan bersedia mendedahkan laporan RCI TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Keputusan untuk menerbitkan laporan berkenaan akan diteliti bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, sebelum ini kerajaan tidak mendedahkan laporan berkenaan kerana memberi ruang kepada pengurusan baharu TH melakukan proses pemulihan dan penambahbaikan.
”Kalau dulu kita tangguh laporan itu, kerana TH menyatakan dia perlu masa untuk perbaiki. Ada pengurusan baharu untuk baiki.
”Kemudian sekarang kita bersedia untuk dihebahkan kepada awam. Kalau terlalu awal dahulu, kita bimbang orang tidak ada keyakinan kepada TH,” katanya.
Beliau berkata, keadaan TH kini jauh berbeza apabila institusi itu berjaya memperoleh pengiktirafan antarabangsa hasil pembaharuan dilaksanakan.
Menurutnya, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman turut mengucapkan tahniah selepas TH menerima pengiktirafan sebagai antara institusi pengurusan haji terbaik di dunia.
”TH hari ini berbeza. Minggu lalu Putera Mohammed Salman menghantar mesej mengucapkan tahniah kerana TH mendapat pengiktirafan pengurusan terbaik dalam kalangan syarikat pengurusan haji di dunia.
”Maknanya kalau kita buat kerja dengan baik dan bersihkan daripada sikap-sikap keterlanjuran dahulu, kita mampu mengangkat martabat negara,” katanya. – UTUSAN










