PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Perlis merampas pelbagai jenis periuk dan sudu tidak diikrar menerusi pemeriksaan ke atas sebuah lori kontena di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada 28 Februari lepas.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, menerusi pemeriksaan sekitar pukul 12 tengah hari itu, sepasukan anggota telah melakukan pemeriksaan ke atas lori kontena berkenaan yang bernombor pendaftaran negara jiran.
Ismail berkata, lori kontena itu juga dipandu oleh seorang lelaki berumur 37 tahun dan bukan warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kotak-kotak tersebut membawa kepada penemuan 618 unit periuk pelbagai saiz dan 16,992 unit sudu berjenama Zebra Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Padang Besar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM55,846.80 melibatkan duti dan cukai sebanyak RM14,799.40.
Ujarnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan cara membawa masuk barangan berkenaan bersama dagangan lain yang diikrarkan untuk mengelak dikenakan duti dan cukai.
“Barangan tersebut diletakkan bersama alat ganti kenderaan dan bekas minuman plastik yang diikrarkan namun berjaya dikesan menerusi mesin pengimbas di Lorong Import Dagangan Jalan Raya (UDJR) Kompleks ICQS,” katanya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Dalam perkembangan berlainan, Ismail berkata, pihaknya juga berjaya merampas barangan kosmetik yang tidak diikrarkan menerusi pemeriksaan ke atas dua buah pacuan empat roda di Lorong UDJR Kompleks ICQS Padang Besar pada 12 Mac lepas.
Beliau berkata, kenderaan tersebut dipandu oleh dua lelaki bukan warganegara Malaysia masing-masing berumur 40 dan 53 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan sejumlah kotak yang didalamnya mengandungi barangan kosmetik gagal diikrarkan dianggarkan bernilai RM51,360 dan cukai sebanyak RM2,568.
“Kes ini disiasat di bawah Sekseyn 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.-UTUSAN










