JPN Johor pergiat usaha galak rakyat daftar PADU

JPN Johor pergiat usaha galak rakyat daftar PADU

AZNAN Tamin menyerahkan bubur lambuk pada program Pandu Lalu Bubur Lambuk di RTM Johor, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Penerangan Negeri (JPN) akan mempergiatkan usaha menggalakkan lebih ramai rakyat negeri ini mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin berkata, jumlah mereka yang telah mendaftar masih rendah iaitu 26 peratus.

Katanya, selain membuka reruai pendaftaran di pusat beli belah dan kawasan tumpuan, JPN turut bergerak secara ‘mobile’ di lokasi utama seperti di luar bandar dan kawasan projek perumahan rakyat (PPR) bagi menggalakkan penduduk mendaftar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, ia juga membolehkan penerangan dan juga maklumat yang tepat diberikan kepada rakyat tanpa merasakan identiti serta maklumat mereka akan tercemar atau sebagainya.

“Kerajaan Johor menyeru penduduk di negeri ini yang masih belum berdaftar dengan sistem PADU untuk berbuat demikian sebelum tarikh tutup pendaftaran hujung bulan ini.

“Masih ada beberapa hari lagi buat semua penduduk dalam negeri ini untuk berdaftar supaya tidak terlepas menerima bantuan daripada kerajaan,” katanya selepas merasmikan Program Pandu Lalu Bubur Lambuk Johor FM 2024 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor.

Pendaftaran PADU mula dibuka kepada rakyat sejak 2 Januari lalu dan setakat semalam, jumlah pendaftaran hanya 30 peratus iaitu melibatkan seramai 7.36 juta rakyat yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dilaporkan berkata, rakyat Malaysia perlu segera mendaftarkan maklumat mereka de­ngan PADU sebelum tarikh tutup.

Setakat ini, katanya, penduduk Se­langor direkodkan paling ramai mendaftar PADU iaitu 1.13 juta manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula merekodkan kadar pendaftaran paling sedikit iaitu 0.02 juta.

Mengulas lanjut, Aznan berkata, Johor adalah antara penyumbang tertinggi kepada pendaftaran PADU dengan 26 peratus atau hampir satu juta penduduk yang layak mendaftar di negeri ini sudah berbuat demikian.

“Kita juga sedang menunggu garis panduan sama ada pendaftaran PADU ini diteruskan selepas 31 Mac ini atau tidak.

“Jadi, masih ada masa untuk penduduk dalam negeri ini untuk teruskan daftar PADU dan kita juga ingin menjadi negeri yang terbaik dari segi sistem pendaftarannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN