Jenazah dua kanak-kanak lemas selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah dua kanak-kanak lemas selamat dikebumikan

AHLI keluarga Muhammad Danish Mikaill Abdullah menyiram pusaranya selepas jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun malam tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Jenazah dua kanak-kanak lelaki yang lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat, dekat sini, selamat dikebumikan malam tadi.

Jenazah Mohamad Atiff Farrouqi Zainudin,11, dan rakannya, Muhammad Danish Mikaill Abdullah, 9, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar selamat dikebumikan secara berdekatan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed, kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua jenazah disolatkan di Unit Forensik Hospital Dungun selepas selesai urusan bedah siasat.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan rakan sekolah kanak-kanak itu tidak dapat menahan sebak ketika talkin dibacakan secara bersama.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, dua kanak-kanak itu lemas selepas hanyut dipukul ombak ketika mandi di pantai tersebut bersama seorang lagi rakannya iaitu Ahmad Aril Farhan Mat Zain, 11.

Bagaimanapun, Ahmad Aril terselamat selepas berjaya berenang ke darat dan bertindak menghubungi pasukan penyelamat selepas menyedari rakannya hanyut.

Mayat Mohamad Atiff Farrouqi ditemui pasukan penyelamat kira-kira pukul 4.55 petang diikuti mayat Muhammad Danish Mikaill kira-kira pukul 6.25 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN