Jangan guna agama capai hasrat politik - Ahmad Zahid

Jangan guna agama capai hasrat politik – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jangan gunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik.

Itu reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dukacita terhadap kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata, nasihat itu bukan sahaja ditujukan kepada individu dan pemimpin parti politik sahaja sebaliknya pemimpin dalam UMNO.

Menurutnya, beliau menghargai titah Tuanku itu dan ia juga sebagai amaran kepada sesiapa sahaja supaya tidak melakukan perkara sama pada masa depan.

“Kita semua maklum bahawa soal agama, soal hukum dan soal fatwa harus dijadikan sebagai batu sempadan untuk kita memberikan pandangan dan pendapat.

“Tetapi jika masalah-masalah hukum sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran, hadis, kias dan ijtimak ulama maka, saya tidak perlu menasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latar belakang agama untuk mengikut landasan itu.

“Tapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan utk mencapai hasrat politik,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ yang dikeluarkan pada 20 Februari lalu menerusi portal berita pas.org.my.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Menurut Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani dilaporkan berkata, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Baginda turut menasihatkan agar Abdul Hadi lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN