Keinginan untuk memiliki tubuh langsing bukan lagi sesuatu yang asing.
Hari ini, media sosial dipenuhi kisah transformasi berat badan sehingga mendorong ramai mencari kaedah paling cepat untuk mencapai bentuk badan ideal.
Antara yang paling hangat diperkatakan ialah suntikan Mounjaro, ubat yang pada asalnya dibangunkan bagi membantu pesakit diabetes mengawal paras gula dalam darah, namun kini semakin popular kerana kesannya dalam membantu penurunan berat badan.
Popularitinya melonjak selepas ramai pengguna berkongsi perubahan fizikal yang ketara hanya dalam beberapa bulan. Malah, ada yang menganggap suntikan itu sebagai ‘jalan pintas’ untuk kurus tanpa perlu bersenam atau mengawal pemakanan secara ketat.
Bagi pakar perubatan, Mounjaro bukanlah ubat yang boleh diambil sewenang-wenangnya hanya kerana ingin kelihatan lebih langsing.
Sebaliknya, penggunaannya perlu berdasarkan keperluan perubatan dan dipantau doktor kerana setiap individu mempunyai tahap kesihatan serta keperluan metabolik yang berbeza.
Bukan untuk semua orang
Prof. Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Norlaila Mustafa, berkata penggunaan Mounjaro atau Wegovy perlu berpandukan indikasi klinikal dan bukannya kehendak kosmetik semata-mata.
Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya melihat ubat tersebut sebagai produk kurus yang boleh dibeli dan digunakan sesuka hati.
“Mounjaro ialah ubat preskripsi. Ia bukan produk kecantikan atau penyelesaian segera untuk mendapatkan bentuk badan ideal,” katanya.
Pandangan sama dikongsi Pakar Perubatan Estetik, Dr. Nurul Hakimah Maliza Abdul Malik, yang menjelaskan Mounjaro sebenarnya dibangunkan sebagai rawatan kepada pesakit obesiti dan gangguan metabolik, bukannya suntikan untuk memenuhi trend kecantikan.

Beliau berkata, setiap pesakit perlu melalui penilaian menyeluruh sebelum doktor memutuskan sama ada mereka benar-benar memerlukan rawatan tersebut.
Siapa yang memerlukannya?
Menurut Dr. Hakimah, doktor bukan sekadar melihat angka pada penimbang berat badan sebelum memberikan preskripsi Mounjaro.
Sebaliknya, beberapa faktor lain turut dinilai termasuk Indeks Jisim Badan (BMI), peratusan lemak badan, penyakit sampingan, sejarah percubaan menurunkan berat badan serta corak pemakanan pesakit.
“Ramai menyangka seseorang yang kelihatan berisi terus layak mengambil Mounjaro. Hakikatnya tidak begitu.
“Kami perlu mengetahui sama ada pesakit sudah mencuba diet dan senaman, apakah masalah kesihatan yang dihadapi serta apakah matlamat sebenar mereka,” katanya.
Menurutnya, ada individu datang mendapatkan rawatan kerana mahu mengurangkan risiko penyakit kronik, namun tidak kurang juga yang hadir semata-mata kerana terpengaruh dengan trend di media sosial.
Golongan seperti ini akan diberikan sesi kaunseling terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Bukan ‘pen magik’
Dr. Hakimah mengakui beliau sentiasa berhati-hati apabila menerima pesakit yang menganggap Mounjaro sebagai penyelesaian mudah.
Katanya, jika seseorang masih mengamalkan pemakanan tidak sihat dan enggan mengubah gaya hidup, kesan penurunan berat badan sukar dikekalkan dalam jangka panjang.
“Mounjaro bukan pen magik.

“Jika seseorang hanya mahu menyuntik ubat tetapi tidak mahu bersenam atau mengawal pemakanan, keputusan yang diperoleh tidak akan bertahan lama,” katanya.
Beliau menjelaskan ubat tersebut hanyalah alat sokongan yang membantu mengawal selera makan serta memudahkan pesakit memulakan perjalanan menurunkan berat badan.
Disiplin tetap menjadi faktor paling penting dalam mencapai berat badan ideal, termasuk dengan usaha seperti mengawal pemakanan dan bersenam.
Lebih daripada sekadar kurus
Ramai melihat kejayaan rawatan ini melalui angka yang tertera pada penimbang.
Namun menurut Dr. Hakimah, manfaat sebenar jauh lebih besar daripada itu.
Penurunan berat badan mampu membantu mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan rintangan insulin, memperbaiki kesihatan metabolik serta mengurangkan lemak viseral yang menjadi antara penyumbang utama penyakit kronik.
Selain itu, pesakit juga lazimnya mengalami peningkatan tahap tenaga, lebih mudah bergerak, tidur lebih lena dan mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang lebih rendah.
Bagi individu yang mengalami obesiti melampau, perubahan kecil pada berat badan sudah cukup untuk meningkatkan keyakinan diri dan memberi motivasi memulakan gaya hidup aktif.
“Ramai pesakit sebelum ini sukar berjalan atau bersenam kerana berat badan mereka sendiri menjadi penghalang.
“Apabila berat mula turun, mereka lebih bersemangat untuk terus aktif,” katanya.
Keberkesanan berbeza bagi setiap individu
Walaupun keberkesanan Mounjaro disokong pelbagai kajian klinikal, tindak balas setiap individu tidak sama.
Bagi seorang pengguna Mounjaro, Nurul Zahiella, 30, mengakui kecewa apabila suntikan yang menelan belanja RM1,200 itu tidak memberikan kesan seperti diharapkan. Katanya, selera makannya tidak banyak berubah dan berat badan juga tidak menunjukkan penurunan ketara.

Berbeza pula dengan Mir, 29, yang berjaya menurunkan berat badan secara konsisten selepas mengambil Mounjaro atas nasihat doktor.
Walaupun mengalami rasa loya dan keletihan pada minggu-minggu awal, dia menganggap kesan sampingan itu masih boleh dikawal.
Namun kedua-duanya bersetuju perubahan gaya hidup tetap menjadi faktor utama menentukan kejayaan rawatan.
Apa risiko yang ada?
Sejak Mounjaro menjadi popular, timbul pelbagai kebimbangan termasuk dakwaan ia boleh meningkatkan risiko kanser tiroid.
Menurut Dr. Hakimah, kebimbangan itu berpunca daripada kajian terhadap haiwan makmal yang menunjukkan peningkatan kes Kanser Tiroid Medulari (MTC).
Bagaimanapun, bukti klinikal dalam kalangan manusia setakat ini menunjukkan risiko tersebut adalah sangat rendah.
Namun, individu yang mempunyai sejarah peribadi atau keluarga menghidap MTC tidak disarankan mengambil ubat tersebut.
Beliau turut mengingatkan Mounjaro hanya boleh digunakan melalui preskripsi doktor dan bukannya dibeli secara bebas.
Kurus bukan matlamat utama
Akhirnya, persoalan sama ada seseorang perlu mengambil Mounjaro demi kurus tidak mempunyai jawapan yang sama untuk semua orang.
Bagi mereka yang mengalami obesiti atau gangguan metabolik, suntikan ini boleh menjadi satu bentuk rawatan yang berkesan apabila digunakan di bawah pemantauan doktor serta disertai perubahan gaya hidup.

Namun, bagi individu yang hanya mahu mengejar bentuk badan ideal kerana pengaruh trend atau media sosial, pakar berpendapat diet seimbang, senaman dan perubahan tabiat hidup masih merupakan pilihan paling selamat.
Mounjaro bukanlah jalan pintas menuju tubuh langsing. Sebaliknya, ia ialah satu intervensi perubatan yang direka untuk membantu pesakit tertentu mencapai kesihatan yang lebih baik. Tanpa disiplin, pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang konsisten, kesan rawatan itu juga tidak akan berkekalan.










