Stesen TV sudah beri garis panduan lawak – Bell Ngasri

Stesen TV sudah beri garis panduan lawak – Bell Ngasri

BELL NGASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri mendedahkan stesen televisyen memang sudah menyediakan garis panduan khususnya siaran tertunda bagi memastikan pelawak tidak membuat lawak yang melampaui batas.

Bell atau Nasrizal Ngasri, 46, berkata, pihak stesen TV menyediakan sistem siaran tertunda beberapa minit supaya mereka boleh terus memotong atau menyenyapkan suara pelawak sekiranya ada jenaka yang luar dari batasan.

Katanya, isu sesetengah pelawak yang masih membuat lawak kasar atau menghina fizikal orang lain sebenarnya berpunca daripada sikap pelawak itu sendiri yang cuba meniru budaya Barat.

“Pihak stesen TV akan membuat sistem siaran tertunda beberapa minit sebelum program ditayangkan. Jadi, kalau ada pelawak yang melanggar garis panduan, pihak stesen sudah boleh memotong atau menyenyapkan suara mereka.

“Kita di atas pentas itu sudah diberitahu tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Benda-benda sebegini sepatutnya semua pelawak sudah cakna sebelum memulakan kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pelawak dan pelakon senior, Shahrizan Ahmad atau Abon, 66, menolak idea menggunakan fizikal orang lain sebagai bahan lawak jenaka.

Kata Abon, selain ditegah keras dalam agama Islam, ia juga dianggap salah dan dalam masa sama, tidak beretika.

“Contohnya saya dengan arwah Mohd Yusof Abdul Hamid atau Mr. Os merupakan kawan baik. Ada banyak perkara yang boleh saya guna tentang dia dalam lawak saya ketika sepentas dengan beliau.

“Tetapi saya tidak berbuat demikian disebabkan menghormati perasaan anak isterinya meskipun Mr. Os bersetuju untuk dijadikan bahan.Apa perasaan keluarga jika kita mengutuk seseorang dalam lawak kita. Saya tidak tergamak melakukannya,” katanya.

ABON

Abon dalam masa yang sama mengingatkan bahawa menjadikan kelemahan orang lain sebagai bahan jenaka adalah perbuatan yang ditegah dalam Islam.

“Dalam Islam, memanggil nama yang buruk terhadap seseorang adalah perkara yang dilarang. Jika orang mahu panggil saya botak atau pendek, mungkin bagi saya biasa.

“Tetapi dalam agama ia satu perbuatan yang membawa kepada dosa maka pelaku harus meminta maaf kepada orang yang dijadiakam bahan lawak itu, kongsinya lagi.

Dalam pada itu Abon tidak bersetuju apabila dikatakan tindakan membahan orang ini terkenal dalam kalangan pelawak baharu.

“Tidak mengira pelawak baharu atau yang lama, semua pernah membahan orang lain. Saya juga tidak terkecuali, namun saya belajar dan tidak mengulangi perkara itu.

“Tidak manis kita berbuat demikian dan tiada keperluan membuat orang ketawa dengan mengutuk kekurangan orang lain,” ujarnya.

Baru-baru ini, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander berhubung dakwaan beliau disamakan dengan makhluk seram dalam satu persembahan komedi awal tahun ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN