PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Washington memantau rapat perkembangan susulan keruntuhan jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Amerika Syarikat, semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Dalam insiden ini, katanya, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati serta mengikuti perkembangan terkini.
“Ikuti nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Washington,” katanya hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi waktu tempatan, jambatan utama di Baltimore, Maryland sepanjang 2.7 kilometer itu dilaporkan runtuh selepas dilanggar sebuah kapal kargo, menyebabkan beberapa orang dan kenderaan terjunam ke dalam sungai.
Pengarah Komunikasi Jabatan Bomba Baltimore, Kevin Cartwright memberitahu BBC, seramai 20 pekerja dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Patapsco akibat insiden mengejutkan itu.
Rakaman dramatik kejadian itu menunjukkan kapal kargo yang terbakar menghentam jambatan sebelum karam dan melanggar beberapa kenderaan hingga jatuh ke dalam air.
Dalam masa kurang 30 saat keseluruhan jambatan itu runtuh dan musnah.
Datuk Bandar Baltimore berkata, kakitangan kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian dan usaha menyelamat sedang dijalankan.
Menurut Cartwright, terdapat beberapa kargo atau penahan yang tersangkut pada jambatan hingga mewujudkan keadaan tidak selamat dan tidak stabil.
Data penjejakan kapal daripada LSEG menunjukkan kapal kontena berbendera Singapura, Dali berada di lokasi kemalangan itu berlaku. – UTUSAN










