KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos gagal dalam usahanya untuk membatalkan saman fitnah oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menuntut ganti rugi RM1 juta kerana didakwa difitnah berhubung isu pengundi hantu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Suzana Muhamad Said memutuskan demikian selepas mendapati terdapat beberapa isu yang perlu dibicarakan.
Perkara itu disahkan oleh peguam Shakeel Saifuzzaman yang mewakili bekas Ketua Pemuda UMNO itu ketika dihubungi media selepas prosiding kes yang dijalankan secara Zoom di Mahkamah Tinggi di sini selesai.
Peguam terbabit turut memaklumkan mahkamah menetapkan 27 Mei ini untuk pengurusan kes.
Pada 24 Mei 2023, Khairy memfailkan saman menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta atas dakwaan Jamal telah memfitnahnya pada satu sidang akhbar di PAU 2022 yang diadakan pada 14 Januari lalu.
Menurut penyataan tuntutannya, bekas Menteri Kesihatan itu mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Khairy telah membuat kenyataan jahat terhadap UMNO berhubung isu pengundi hantu pada pengundian parti itu.
Jamal juga telah memuat naik rakaman sidang akhbar itu di akaun Facebook DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official) dan TikTok.
Khairy selaku plaintif menyatakan, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah merujuk kepadanya dan turut menyebut namanya secara jelas.
Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lainnya menggambarkan bahawa plaintif adalah seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak mempunyai kredibiliti, melakukan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak setia pada parti dan pemimpin parti.
Oleh itu, Khairy memohon perintah mahkamah menuntut Jamal membuat dan menerbitkan permohonan maaf di laman Facebook di bawah nama ‘S Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’, akaun media sosial TikTok ‘jamal_yunos’ dan akhbar-akhbar utama.
Plaintif juga memohon perintah agar Jamal memadamkan penerbitan berbaur fitnah itu daripada akaun-akaun laman sosial terbabit.
Khairy turut memohon ganti rugi khas sebanyak RM1 juta dan ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.
Turut dimohon ialah faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN










