KUALA LUMPUR: Pembangkang diminta tidak terus mempersoal peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang ditubuhkan pada 1 Februari 2021.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya akan terus memastikan J-KOM berperanan seperti yang ditetapkan dan tidak bertindih dengan tugas agensi-agensi lain di bawah kementerian itu.
“Ini bukan agensi baharu yang ditubuhkan. Semua ahli parlimen yang berada di Dewan ini pernah jadi kerajaan.
“Jadi, janganlah tanya saya sama ada J-KOM, ketika Yang Berhormat berada dalam kerajaan ketika itu, adalah lidah parti politik, sama ada orang yang dilantik adalah lantikan kontrak kerana J-KOM ditubuh di sebelah sana (pembangkang) pada 2021,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, beberapa ahli parlimen pembangkang mempersoalkan peranan J-KOM, sama ada ia menjadi lidah kerajaan dan parti politik serta berlaku pertindihan dengan peranan Jabatan Penerangan.
Malah, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) turut pernah mencadangkan supaya J-KOM dibubarkan.
Menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai perkembangan siasatan ke atas bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkaitan dakwaan melakukan gangguan seksual, Nie Ching berkata, kementeriannya tiada kaitan dalam hal itu.
“Apabila Ketua Pengarah J-KOM letak jawatan, kami tidak terbabit dalam apa-apa siasatan terhadapnya,” katanya.
J-KOM adalah penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), yang dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Komunikasi di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2023.
Matlamat J-KOM adalah mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat dan sahih kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas rakyat. – UTUSAN










