Pelihara itik serati sebagai hobi - Utusan Malaysia

Pelihara itik serati sebagai hobi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT itik berjalan terkedek-kedek di sekeliling kebun membuatkan wanita ini begitu mencintai hobi membela haiwan ini. 

Unggas ini sering dilihat berjalan bersama kelompoknya secara perlahan-lahan dan tidak pernah tergesa-gesa dengan ekor bergoyang ke kanan dan ke kiri untuk mengimbangi tubuhnya. 

Nuraishah Shamsuddin, 31, bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan modal mendapatkan itik berkenaan. 

Kongsinya, kesemua 11 ekor itik serati itu merupakan pemberian dan hadiah daripada individu. 

“Itik ini ada orang bagi. Asalnya ada 11 ekor, namun seekor sudah mati. Sebelum ini saya ada bela ayam kampung, tetapi saja suka-suka hendak menambah ternakan baharu di kebun saya,” katanya kepada Seri. 

Itik dibela merupakan baka serati. Ibu itik mencecah umur dua tahun, manakala, semua anaknya baru mencapai umur sebulan dua minggu. 

Nuraishah aktif menghasilkan konten mengenai itik yang dibela untuk tatapan ramai sehingga mempunyai 123,000 pengikut di Instagram. 

Media sosial rasminya juga sarat perkongsian tentang alam, tumbuh-tumbuhan, sayur-sayuran dan haiwan yang dibela di tanah kebun seluas setengah ekar miliknya di Teluk Intan, Perak. 

Beliau turut menjual produk sabun dan losen hasil kebun organik yang diusahakan sejak 2021. 

Keletah bersahaja dengan haiwan membuktikan wanita ini begitu mencintai hidupan unggas ini walaupun empat minggu menjadikan itik sebagai binatang peliharaaannya. 

BERSIHKAN REBAN 

Pemegang Sarjana Pengurusan Seni dan Kebudayaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, ini berkata, itik peliharaan tidak diletakkan dalam reban sepanjang hari, sebaliknya memberikan ia ruang kebebasan menghirup udara segar di kebun berkenaan. 

“Waktu siang saya bagi kebebasan itik bergerak, cuma tidur mesti di dalam reban. 

“Tempat tidur itik selalu saya bersihkan bagi mengelakkan jangkitan penyakit dan membuatkan reban berbau. 

“Kalau dibandingkan dengan ayam, tempat tidur itik lebih cepat kotor sebab ia kuat makan dan minum. Jadi, perlu rajin cuci lantai, reban serta bekas makan dan minum,” kongsinya. 

KUAT MAKAN 

Bekerja sebagai pekebun dan penternak sepenuh masa, membuatkan Nuraishah banyak memperuntukkan masanya bersama  ora dan fauna. 

Kongsinya, beliau berasa seronok membesarkan itik berkenaan kerana tidak cerewet atau memilih makanan serta mudah diuruskan.

“Seronok dapat melihat itik cepat membesar, makan tak memilih termasuk makan siput. Jadi, ia secara tidak langsung menjadi kawalan biologi siput pada tanaman.

“Letaklah apa sahaja pasti itik akan makan seperti sisa makanan dari rumah, kedai, nasi lebihan katering atau daun-daun. Dedak pula saya buat sendiri dan tidak beli di kedai. 

“Paling penting perlu sediakan makanan lebih sebab itik-itik ini kuat makan dan membuang,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu.    

TAK SUKA DIBELAI

Mengenai aspek penjagaan, kongsinya, itik yang diternak belum pernah mengalami sebarang masalah kesihatan. 

“Setakat ini, tiada apa-apa masalah. Cuma kena berhati-hati dengan pemangsa seperti ular dan anjing. 

“Ikutkan itik saya tak jinak dan tak liar. Tak susah pun nak tangkap, tetapi bukan sejenis yang suka dibelai,” katanya. 

Meskipun pandai terbang, katanya, itik peliharaan ini tidak pernah terbang jauh atau melebihi jarak 100 meter kerana mudah kepenatan. 

“Bagaimanapun, saya belum pernah melihat ibu itik yang dibela ini terbang sebab masih mengasuh anak-anaknya. 

“Kalau tak nak ia terbang, boleh gunting bahagian kepaknya kerana ia tidaklah menyakitkan mereka,” jelasnya yang turut menjual produk sabun dan losen hasil kebun organik yang diusahakan sejak 2021.

ITIK SERATI 

-Berwarna hitam dan putih.

-Memiliki kulit atau tonjolan berwarna merah di sekitar mata dan wajah. 

-Boleh bertelur hingga 10 butir telur, itik betina akan mengeram telur sekitar lima minggu.  

-Dagingnya disukai ramai kerana tidak begitu berbau seperti daging itik penelur. 

-Banyak terdapat di kepulauan Sumatera, Jawa dan India. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN