PETALING JAYA: Pindaan ke atas Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan akan mengakhiri pelbagai kesulitan berkaitan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan rakyat Malaysia di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri bersetuju membawa usul mengenai pindaan berkenaan ke Parlimen bulan ini bagi memastikan anak yang dilahirkan itu diberikan hak kewarganegaraan.
“Soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa. Kabinet bersetuju membawa perkara itu ke Parlimen bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada Majlis Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Jerman malam semalam.
Beliau menjawab soalan seorang wanita Malaysia yang menyuarakan keresahannya berhubung dua anaknya tidak memperoleh kerakyatan Malaysia.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman dengan mengadakan pertemuan pertama antara beberapa pemimpin negara itu.
Jerman adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 2000 manakala rakan perdagangan terbesar bagi negara itu dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Anwar berkata, pindaan terhadap perlembagaan berhubung perkara itu akan menoktahkan isu kebimbangan ibu-ibu Malaysia berkahwin dan melahirkan anak di luar negara.
“Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil Global Bersih berhubung kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kesukaran mengundi pada dua pilihan raya umum lepas.
“Kita perlu mudahkan, antaranya pengundian langsung. Misalnya lebihkan pusat-pusat pengundian. Kita ada pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di luar negara yang boleh digunakan sebagai pusat pengundian.
“SPR juga perlu mengkaji langkah mewujudkan pendaftaran secara automatik untuk pengundi Malaysia di luar negara sama seperti yang diamalkan di tanah air,” katanya.
Sementara itu dalam isu berlainan, Malaysia dan Jerman sama-sama berpendirian bahawa penderitaan penduduk Palestin mesti dihentikan serta-merta.
Anwar menyatakan pendirian itu ketika menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Sehitlik, Berlin pada hari kedua mengadakan lawatan ke Jerman.
“Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bertemu dan mengadakan perbincangan dengan komuniti Islam di Masjid Sehitlik.
“Kami juga menyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin mesti dihentikan serta-merta,” kata beliau menerusi aplikasi X.
Terdahulu, ketibaan Anwar ke Masjid Sehitlik disambut Duta Turki ke Jerman, Ahmet Basar Sen yang kemudian turut bersama dalam sesi membincangkan nasib Palestin.
Anwar menyumbangkan 12 naskhah al-Quran termasuk ada antara naskah dengan cetakan terjemahan bahasa Jerman dan bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid. – UTUSAN










