Isu stoking tertera Allah: 42 laporan polis seluruh negara

Isu stoking tertera Allah: 42 laporan polis seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis setakat ini menerima 42 laporan di seluruh negara berkaitan isu penjualan stokin yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, daripada jumlah terbabit, pihaknya membuka dua kertas siasatan berhubung isu terbabit.

Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes masih di peringkat siasatan polis dan orang ramai dinasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Orang ramai juga diingatkan agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung penjualan stokin yang tertera kalimah Allah sehingga tular di media sosial baru-baru ini. 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.

“Ia bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan apakah tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN