Isu stoking: Perlu ditangani secara bijaksana - Pas Selangor - Utusan Malaysia

Isu stoking: Perlu ditangani secara bijaksana – Pas Selangor

Pas Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu stoking tertera kalimah Allah perlu ditangani secara bijaksana, bukannya dijadikan political mileage atau sokongan politik bagi meraih perhatian masyarakat.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri menegaskan, partinya berpendirian bukan hanya melihat kepada isu kalimah Allah sahaja, tetapi juga bagaimana untuk menjaga hubungan antara rakyat termasuk menghormati agama lain.

Beliau berkata, Pas secara konsisten tidak akan berkompromi terhadap penghinaan agama lain dan tidak hanya Islam sahaja serta mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terlibat.

“Dalam Pas, kita melihat skop ini dengan lebih meluas, isu ini adalah antara banyak isu, tetapi ada isu lebih lagi besar. Jadi bagaimana kita hendak mengendalikan isu besar ini.

“Pada peringkat Pas, bukan setakat isu stoking tetapi bagaimana untuk menghormati agama lain. Isu seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara hidup harmoni, kita kena berhati-hati dalam soal sensitiviti. Islam tidak dibenarkan menghina agama, kalau kita buat, orang buat pada kita,” katanya dalam Majlis Iftar Pas Selangor Bersama Media di sini, semalam.

Beliau ditanya mengenai pendirian Pas Selangor berhubung isu stoking tertera kalimah Allah  sehingga mengheret beberapa individu termasuk pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di atas tuduhan se­ngaja berniat melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pengurusan KK Super Mart kemudiannya dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Ab. Halim menambah, paling utama bagaimana untuk menangani Islamophobia sehingga membawa amalan mencerca agama Islam sekali gus menjadi barah kepada hubungan integrasi antara kaum dan agama dalam negara ini.

Sehubungan itu katanya, Pas mengambil pendekatan untuk menghalang momokan Islamophobia secara menyeluruh menerusi pendekatan ilmiah dan bijaksana.

“Kadang-kala orang jadikan isu ini sebagai political mileage, itu bukan prinsip kita. Tetapi isu ini sepatutnya dilihat secara tuntas dan menyeluruh. Isu kalimah Allah berkaitan Islamophobia, Islam dicerca bukan setakat di Malaysia tetapi di luar negara.

“Bagi Pas, siasatan telah buat dibuat, maka siapa terlibat telah didakwa. Jangan jadikan ia political mileage, ada isu lain yang cukup besar yang pada saya perlu dilihat secara konstruktif,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN