Isu stoking kalimah Allah: Peniaga diingat jangan ambil remeh isu sensitif

Isu stoking kalimah Allah: Peniaga diingat jangan ambil remeh isu sensitif

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana peniaga diingatkan tidak mengambil remeh isu sensitiviti agama apatah lagi melibatkan kalimah suci Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, isu kalimah Allah yang tertera di stoking dijual KK Mart amat tidak boleh diterima meskipun pihak syarikat berkenaan telah pun membuat permohonan maaf.

Beliau amat kesal kejadian seumpama itu boleh berlaku terutama ketika bulan Ramadan dan ia perlu dijadikan iktibar agar tidak diulangi mana-mana peniaga terhadap kesabaran umat Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usah ambil remeh isu sensitif sebegini walaupun dia sudah hantar surat minta maaf tetapi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan panggil mereka untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

“Saya sedih dan dukacita kerana ia pula berlaku dalam bulan Ramadan meskipun ada kata jangan terlalu sensitif tetapi letak nama Allah di kaki tidak boleh diterima,” katanya selepas majlis penyerahan hadiah sumbangan Raja Arab Saudi bersempena Ramadan di sini hari ini.

Semalam, pengurusan tertinggi rangkaian runcit itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur tampil memohon maaf secara terbuka atas insiden tular dikongsi menerusi media sosial dan melaporkan kes kepada pihak polis.

Mohd. Na’im dalam pada itu turut menasihatkan umat Islam agar kekal bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa melaksanakan siasatan kes berkenaan.

Ditanya mengenai trend pihak tertentu yang meminta maaf selepas kes telah tular, beliau berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya dijadikan seolah-olah sebagai amalan, apatah lagi melibatkan perkara sensitif kesucian agama Islam dengan mengambil kira majoriti penduduk adalah Muslim malah Islam ialah agama Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini