GEORGE TOWN: “Hampir setahun saya menanti saat ini. Kita pun bukan mahu panjang-panjangkan isu dan kalau boleh mahu selesaikan dengan cara baik macam ini.”
Itu kata usahawan kosmetik, Rozita Baharom, 37, atau dikenali sebagai Cheta Pot Pet selepas kes saman fitnah yang difailkannya terhadap seorang pempengaruh media sosial, Muhammad Iddin Syah Mohd. Fuzi, 29, atau Iddin Syah berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Jelas Rozita, demi maruah dirinya dan keluarga, dia memilih untuk lebih banyak berdiam diri dan menyerahkan perkara tersebut untuk diselesaikan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang.
“Dalam hal ini, saya turut berterima kasih kepada defendan (Iddin Syah) kerana melancarkan urusan mahkamah semalam. Hampir setahun (selepas kes difailkan) dan kesannya sangat besar. Apapun saya bersyukur kerana ia selesai dalam bulan yang baik ini (Ramadan),” katanya yang diwakili peguam, K. Mahendran ketika ditemui pemberita, semalam.
Terdahulu, Iddin Syah selaku defendan bersetuju memohon maaf secara pemuatan naik video di beberapa laman sosial miliknya seperti Facebook, Instagram serta TikTok bagi segala kata-kata yang diterbitkan terhadap plaintif iaitu Rozita yang menjadi subjek kepada tuntutan itu.
Pemuatan naik video itu kekal selama 10 hari bermula dari tarikh perintah tersebut dikeluarkan selain kedua-dua pihak bersetuju juga untuk tidak memanjangkan isu-isu berkaitan lagi.
Pada masa yang sama, defendan turut menyatakan persetujuan untuk menurunkan apa-apa penerbitan yang menjadi subjek tuntutan itu serta membuat permohonan maaf di mahkamah terbuka bagi segala kata-kata yang diterbitkan terhadap plaintif sebelum ini.
Selain itu, defendan juga bersetuju menarik balik kes yang difailkan di Mahkamah Sesyen Butterworth mengenai writ saman yang berkaitan tanpa sebarang kos serta tanpa kebebasan memfailkannya semula. – UTUSAN










