Ibu harap anak perempuan segera pulang

Ibu harap anak perempuan segera pulang

ZAIRON Mamat menunjukkan gambar anak perempuannya yang hilang di Kuala Terengganu sejak 7 Oktober tahun lalu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Se­orang ibu berharap keberkatan Ramadan akan memberi keajaiban untuk anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas hilang sejak lima bulan lalu.

Zaiton Mamat, 51, berkata, anaknya, Nur Aini Adila Mohd. Zamri, 20, merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) ka­tegori intelektual.

Dia berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu menghilangkan diri selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Ladang Sehat di sini, sejak 7 Oktober tahun lalu.

“Pada hari kejadian, kebetulan pintu rumah tidak berkunci dan saya pula ke bilik air untuk ambil air sembahyang.

“Saya ada terdengar macam bunyi dia buka pintu dan cucu beritahu Adila telah keluar dari rumah.

“Ketika itu Adila memakai kemeja T berwarna kelabu lengan panjang berbelang serta seluar berwarna hitam,” kata­nya ketika ditemui di sini.

Sejurus kehilangan Adila, dia bersama suaminya, Mohd. Zamri Zakaria, 55, membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, namun sehingga kini anaknya itu masih belum ditemui.

Zaiton berkata, kerinduannya terhadap Adila makin memuncak pada Ramadan kerana anaknya itu pasti akan berpuasa dan mengajaknya ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

“Tak lama lagi nak sambut raya, saya tak boleh bayangkan rasa hampa dan rindu terhadap Adila. Kebiasaannya, saya sediakan dua atau tiga pasang baju untuk dipakainya sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun Adila masih tak pulang, saya tetap belikan baju raya untuk dia dengan harapan dia akan pulang juga ke pangkuan kami sekeluarga,” katanya sebak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Aini Adila boleh hubungi Zaiton di talian 016-9131631 atau 013-7029946 atau ke balai polis berdekatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN