Hutang isi rumah berjumlah RM1.53 trillion tahun lalu

Hutang isi rumah berjumlah RM1.53 trillion tahun lalu

JUMLAH hutang isi rumah bagi 2023 menunjukkan peningkatan daripada tahun-tahun sebelumnya bermula pada 2018. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Secara agregat, sejumlah RM1.53 trilion hutang isi rumah direkodkan setakat akhir tahun lepas, meningkat daripada RM1.45 trilion pada 2022.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pinjaman perumahan merupakan jenis pembiayaan terbesar dicatatkan dengan 60.5 peratus daripada hutang isi rumah.

Kata beliau, ia diikuti oleh pinjaman kenderaan (13.2 peratus), pembiayaan peribadi (12.6 peratus) dan pinjaman untuk tujuan-tujuan yang lain termasuk pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan lain-lain.

“Secara agregatnya, jumlah hutang isi rumah bagi tahun-tahun sebelumnya adalah; 2022 (RM1.45 trilion), 2021 (RM1.38 trilion), 2020 (RM1.32 trilion), 2019 (RM1.25 trilion) dan 2018 (RM1.19 trilion).

“Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2023 pula meningkat sedikit kepada 84.2 peratus berbanding tahun 2018 (82 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Pang Hok Liong (PH-Labis) berhubung hutang isi rumah agregat negara bagi 2018 hingga 2023.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, purata pertumbuhan tahunan hutang isi rumah bagi tempoh tahun 2018 hingga 2023 ialah 5.1 peratus.

“Pertumbuhan hutang isi rumah tahunan ini didorong terutamanya oleh pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan susulan daripada pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan dan sektor swasta.

“Ia termasuk insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan bermotor di antara tahun 2020 dan 2022,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN