KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan tegas kepada penceramah agama, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan pihak-pihak lain yang menghina agama Hindu.
Gesaan tersebut dibuat sekumpulan ahli parlimen India Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa Zamri Vinoth menghina kaum India yang beragama Hindu di negara ini.
“(Disebabkan itu) sebagai ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara daripada Kerajaan Perpaduan kami bersama-sama ingin menuntut tindakan pendakwaan diambil terhadap Zamri Vinoth.
“Dalam beberapa siri TikTok yang disiarkan di media sosial Zamri Vinoth telah dirakam sebagai memberi penjelasan tentang dewa Shiva Lingam yang disembah oleh kaum India beragama Hindu di Malaysia.
“Kami bersama-sama ingin menuntut supaya menteri KDN Kerajaan Perpaduan mengambil tindakan menuduh Zamri Vinoth di mahkamah di atas kenyataan yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Hadir sama, ahli Parlimen Klang, Ganabatirau, Yuneswaran Ramaraj (Segamat), P Prabakaran (Batu) dan senator Lingeshwaran R Arunasalam.
Senator Sivaraj Chandran yang juga bekas anggota MIC turut hadir dalam sidang media itu.
Rayer semalam membangkitkan persoalan berhubung tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap pensyarah agama seperti Zamri Vinoth dan Firdaus Wong yang didakwa dengan sengaja membuat kenyataan-kenyataan mengguris hati masyarakat bukan Islam dalam syarahan agama mereka.
Pada sidang Dewan Negara, semalam, Ganabatirau juga mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil oleh penguat kuasa apabila ada pihak yang cuba menghina agama selain daripada Islam.
“Ada dua individu yang didakwa sebagai pendakwah bebas dilaporkan sentiasa mengkritik agama selain agama Islam sehingga ada 1,008 laporan polis tapi tiada tindakan, dibawa ke mahkamah dan didakwa tapi masih kata NFA (tiada tindakan lanjut).
“Sedangkan ada pihak yang mengkritik agama (lain) di sebelah sana dalam masa 24 jam ditangkap dan dimasukkan penjara, mana perginya kedaulatan undang-undang dan keadilan yang sama rata kepada semua,” soalnya.- UTUSAN










