TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran pada Ahad mengumumkan bahawa Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak selepas mereka melepaskan tembakan amaran ke arah sebuah kapal yang didakwa menggunakan laluan tanpa kebenaran, menurut media kerajaan.
Langkah itu dijangka terus merumitkan usaha menyelamatkan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran selepas kedua-dua pihak saling melancarkan serangan sejak beberapa hari lalu serta bertukar-tukar ugutan.
Portal berita Axios dan Politico melaporkan bahawa Washington telah memberi tempoh sehingga Sabtu kepada Teheran untuk menghentikan tindakan melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz serta mengiktiraf secara rasmi bahawa laluan perairan itu dibuka kepada pelayaran.
Salah satu halangan utama ke arah mencapai perjanjian muktamad ialah masa depan Selat Hormuz dengan Teheran menegaskan bahawa ia akan mengawal perkapalan melalui laluan tersebut, manakala Washington menuntut kebebasan pelayaran tanpa sebarang sekatan.
Kor Pengawal Revolusi berkata, kapal itu ditembak dengan tembakan amaran dan dihentikan selepas mengabaikan arahan berulang kali supaya menggunakan koridor perkapalan yang diluluskan, menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA pada Ahad.
“Susulan insiden ini, Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak dan sehingga campur tangan Amerika di rantau ini berakhir dan tiada kapal akan dibenarkan melalui laluan tersebut,” kata Kor Pengawal Revolusi.
Kor Pengawal Revolusi turut memberi amaran bahawa mereka akan menyasarkan pangkalan-pangkalan musuh yang baharu di rantau ini sekiranya tindakan ketenteraan baharu dilancarkan terhadap mereka.
Selat Hormuz merupakan antara laluan maritim paling penting di dunia.
Iran menutup Selat Hormuz kepada perkapalan komersial semasa perang dengan AS dan Israel pada 28 Februari sekali gus menyumbang kepada kenaikan mendadak harga minyak serta mengganggu trafik maritim di seluruh rantau itu.
Iran menegaskan bahawa ia mempunyai hak untuk mengawal selia pelayaran melalui selat berkenaan dan telah mengumumkan rancangan untuk mengenakan bayaran kepada kapal-kapal yang menggunakan laluan tersebut.
Pegawai Iran berulang kali menegaskan bahawa tiada lagi kembali kepada sistem sebelum perang yang membenarkan kebebasan pelayaran tanpa sekatan. – AFP










