PUTRAJAYA: Meskipun berbaki tiga hari menjelang Ramadan pada minggu depan, hanya Sarawak belum lagi mengumumkan nisab zakat fitrah untuk umat Islam di negeri tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihak Majlis Islam Sarawak (MIS) difahamkan bakal berbuat demikian dalam masa terdekat sebagai rujukan masyarakat Islam menunaikan ibadah fardu tersebut.
“Setakat ini, hanya Selangor, Melaka, Pahang, Perlis dan Kelantan mengesahkan kadar kekal seperti tahun lalu selaras pengumuman pihak berkuasa agama negeri itu,” katanya ketika melancarkan sambutan Ihya Ramadan 1445 di sini hari ini.
Kesemuanya ujar beliau, menetapkan nisab paling rendah sepanjang Ramadan kali ini iaitu sebanyak RM7 dengan Pahang dan Perlis masing-masing mewartakan satu kadar.
Sebaliknya menurut beliau, tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan yang meliputi tiga entiti sebagaimana diumumkan baru-baru ini memaklumkan nisabnya meningkat pada kali ini.
Terengganu mencipta rekod sebagai negeri yang paling tinggi untuk kadar minimum iaitu RM10 berbanding tahun lalu hanya RM8 manakala nisab tertinggi pula ditetapkan RM22.
Ini diikuti Perak yang memaklumkan kadar minimumnya iaitu RM8, malah nisab median dan paling tinggi juga dinaikkan yang masing-masing dua ringgit kepada RM16 dan RM24.
Kedah yang pada tahun lepas memperkenalkan nisab paling rendah iaitu RM6.50 untuk kadar minimum, walau bagaimanapun tahun ini mengumumkan kenaikan kepada RM7.
Begitu juga Sabah menaikkan nisab tunggalnya di negeri tersebut kepada RM7.50, iaitu kadar sama yang pernah diwartakan pada 2020 sebelum turun kepada RM7 sejak 2021.
Johor pula yang selama ini cuma ada dua nisab sejak 2019 tetapi untuk tahun ini mengikut jejak negeri-negeri lain dengan memperkenalkan tiga kadar berbeza bagi umat Islamnya.
Negeri itu mengumumkan nisab paling tinggi iaitu RM20 manakala kadar sederhananya ditetapkan hanya RM12 dan kadar minimum dikenakan sama RM7 yang kekal sejak 2017. – UTUSAN











