Gendang silat iringi 250 murid SK Pida Tiga

Gendang silat iringi 250 murid SK Pida Tiga

MURID SK Pida Tiga disambut dengan muzik tradisional gendang silat Kumpulan Gendang Warisan Pak Din Johan Kampung Kota Siputeh pada hari pertama persekolahan di Tunjang, Kubang Pasu, Kedah semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pelbagai kelainan cuba ditampilkan pihak sekolah untuk menyambut kembali murid atau pelajar mereka yang bercuti bagi menyambung semula sesi persekolahan.

Tidak kurang juga sambutan diatur pihak sekolah bagi menimbulkan rasa minat dan keselesaan kepada murid tahun satu serta prasekolah yang memulakan alam persekolahan masing-masing.

Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga di Tunjang, di sini umpamanya menampilkan kumpulan muzik tradisional gendang silat bagi mengiringi seramai 250 murid sekolah berkenaan seawal pukul 7 pagi semalam.

Kesemua mereka turut diarak secara berkumpulan ke tapak perhimpunan sekolah sambil diiringi muzik tradisional oleh Kumpulan Gendang Warisan Pak Din Johan Kampung Kota Siputeh.

Guru Besar SK Pida Tiga, Zamri Abdul Majid berkata, persembahan muzik tradisional menggunakan gendang, gong, serunai dan tamborin oleh kumpulan gendang silat itu berjaya mewujudkan suasana ceria pada hari pertama persekolahan.

“Kita mahu menyahut seruan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk melahirkan suasana murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“Selain itu, minggu ini juga tiada pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang mana pihak sekolah akan mengadakan aktiviti menjurus kepada kemesraan hubungan antara guru dan murid serta komuniti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zamri berkata, persembahan tersebut juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan muzik dan peralatan tradisional kepada murid sekolah.

Sementara itu, murid darjah satu, Fasihah Imani Mohd. Sobri berkata, dia tidak sabar untuk hadir ke sekolah kerana mahu berjumpa dengan rakan-rakan.

“Saya rasa seronok bila sampai sekolah ada muzik gendang silat, selalunya saya tengok persembahan seperti ini pada majlis kenduri kahwin,” katanya.

Nur Dayana Fadli yang turut memasuki darjah satu berkata, dia bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana rasa teruja mahu ke sekolah.

“Saya tidak menangis kerana ada ramai kawan yang saya kenal, saya seronok kerana akhirnya dapat pakai baju seragam untuk ke sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN