KUALA SELANGOR: Isteri bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali, Fitria Elfina Maharip mendakwa suaminya enggan membenarkan anak-anak mereka bertemu dengannya selepas kembali dari Batam, Indonesia pada Februari lalu.
Malah, Fitria Elfina, 44, mendedahkan Mohd. Safee, 40, sanggup menyorokkan surat ditulis anaknya sendiri kepadanya ketika bekas penyerang kelab Johor Darul Takzim (JDT) datang ke rumah sewa mereka pada 28 Februari lalu.
Menurutnya, surat tersebut diletakkan dekat bahagian brek tangan dalam kereta tersebut dan tidak diserahkan kepadanya ketika Mohd. Safee masuk ke dalam rumah.
“Saya nampak surat itu dalam kereta dan alangkah terkejut bila melihat mesej disampaikan oleh anak saya sendiri. Luluh hati saya bila baca ‘ayah cakap dekat mama kakak rindu. Lepas itu semua kakak… kecuali mama dan Tuhan. Nak pergi tapi tak pun mama, orang marah’.
“Dia tak serah kepada saya. Sudah lebih sebulan tak jumpa anak-anak, tak tahu keadaan mereka macam mana. Saya dapat tahu mereka tidak hadir ke sekolah pada hari yang sepatutnya dia masuk pada 11 Mac lalu, tetapi cikgu cakap ayahnya hendak tukarkan ke sekolah swasta,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri prosiding tuntutan nusyuz dan pengesahan lafaz cerai dekat Mahkamah Rendah Syariah, hari ini.
Tambah Fitria Elfina, surat tersebut diyakininya ditulis oleh anaknya Shanika Salsabilah, 9, yang sebelum ini ditinggalkan bersama adiknya Shania Safina, 7, dekat anak buahnya sebelum diambil Mohd. Safee pada bulan lalu.
“Saya sangat bimbang anak tak sekolah. Shania sepatutnya masuk darjah satu tahun ini,” luahnya.
Jelasnya lagi, dia mendakwa diceraikan Mohd. Safee menerusi pesanan dalam aplikasi Whatsapp apabila suaminya itu pulang ke negara ini selepas bertemunya di Batam pada pertengahan Februari.
Dalam pada itu, Fitria Elfina turut memberitahu dihalau keluar dari rumah yang didudukinya sekarang selepas suaminya mendakwa tidak lagi mampu membayar sewa serta nafkahnya.
“Dia halau saya dari rumah sewa. Pada dua hari lepas sebelum ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi tuntutan anak, dia ambil barang anak-anak, kemudian dia saya sempat rekod video sebagai bukti sebab dia macam menceroboh.
“Kemudian dia bawa pemilik rumah, ejen penjual dan orang yang hendak beli sebelum menyatakan dia halau saya dari rumah, tak boleh duduk situ lagi. Saya tinggal di situ sudah dua tahun. Tak tahu hendak tinggal di mana lepas ini, saya tak dapat fikir,” ujarnya.
Terdahulu Fitria Elfina hadir bersama ahli keluarga dan peguam syarienya, Fauzan Ziman Hassan tiba di Mahkamah Rendah Syariah kira-kira pukul 8.30 pagi.
Menurut Fauzan Ziman, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 26 Mac depan bagi pendengaran semula tuntutan nusyuz dan pengesahan lafaz cerai selepas ia cuma difailkan semalam.
“Saya dan anak guam baru menerima pemfailan permohonan tersebut daripada Mohd. Safee semalam, jadi saya mohon kepada mahkamah untuk meneliti tuntutan tersebut sebelum menjawab tuntutan berkenaan,” katanya.
Semalam, Fitria Elfina hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam bagi prosiding tuntutan hadhanah yang dibuatnya terhadap kedua-dua anaknya. – UTUSAN










