Felda rugi RM1 bilion, PR1MA RM0.257 bilion

Felda rugi RM1 bilion, PR1MA RM0.257 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion pada tahun 2022.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, masalah tersebut berterusan berdasarkan tahap kebergantungan dan hutang agensi itu kepada bantuan kerajaan, sama ada dalam bentuk geran, pinjaman atau jaminan.

Menurutnya lagi, Felda juga didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

“Geran Kerajaan yang diterima oleh Felda pada tahun 2022 berjumlah RM0.214 bilion (2021: RM0.342 bilion). Felda bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.

“Felda mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang. Felda memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM0.686 bilion,” katanya.

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menurut Wan Suraya pula, Felda mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq kepada sebuah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024.

“Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai tahun 2029,” katanya.

Selain itu,  Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) juga turut mengalami kerugian bersih berjumlah RM0.257 bilion manakala liabiliti berjumlah RM5.746 bilion.

Dengan kedudukan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM0.428 bilion, baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion perlu dilunaskan hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada Oktober 2024.

“Keadaan ini menunjukkan PR1MA mempunyai komitmen bayaran balik sukuk yang tinggi hingga tahun 2027,” kata laporan berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Suraya berkata, LKAN mengemukakan 16 syor kepada Agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

Syor itu antaranya ketua agensi Persekutuan hendaklah mengemukakan penyata kewangan untuk diaudit mengikut tempoh ditetapkan dan memastikan geran dibelanjakan mengikut tujuan dalam tempoh ditetapkan.

“Pinjaman yang dibuat oleh agensi persekutuan perlu dijelaskan mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan supaya tidak membebankan Kerajaan Persekutuan yang perlu menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya.

“Selain itu mengkaji semula penubuhan syarikat subsidiari yang dorman, mengalami kerugian, dan tidak memberi pulangan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah Wan Suraya, setakat 11 Januari lalu, sebanyak 140 daripada 144 Penyata kewangan agensi persekutuan 2022 dikemukakan untuk pengesahan ketua audit negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×