Fadhlina mohon maaf namun tidak kompromi dengan fitnah

Fadhlina mohon maaf namun tidak kompromi dengan fitnah

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memohon maaf jika beliau mengguris perasaan pihak tertentu berhubung isu penggunaan istilah ‘kafir’ menerusi klip video yang tular dalam media sosial

Katanya, segala keterlanjuran kata dan kekhilafan berpunca daripada kelemahan diri sendiri. 

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak berkompromi berhubung isu fitnah, tuduhan jahat serta tindakan secara sengaja menyeleweng konteks asal sehingga mengancam dirinya dan keluarga. 

“Saya memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak atas salah faham, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya.

⁠”Hakikatnya, ia adalah suatu salah faham dan kesengajaan penyelewengan konteks. Keratan video yang tular diambil di luar konsensus, malah, sesiapa yang mendengar ucapan dalam video tersebut dapat menilai konteks sebenar yang saya hasratkan.

“Ternyata, ia adalah percubaan jahat yang ingin mencalar imej dan kredibiliti saya, seterusnya berniat mencetus kekecohan dalam isu berkait raja, agama dan kaum (3R) dengan memesong makna menyebabkan saya ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, keratan video itu diambil dan dimuat naik dalam media sosial daripada pertemuan tertutup dengan kumpulan tertentu, kemudian diambil kelompok lain dan ditularkan dengan tafsiran yang menyeleweng.

“Isu sebutan ‘kafir’ atau bukan Islam bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang diguna dalam al-Quran.

“⁠Saya sebutkan yang saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah ‘kafir’ yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga bukan Islam yang hidup bersama-sama dalam negara,” katanya. 

Terdahulu, tular klip video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan istilah kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.

Penyebaran video itu membuatkan beliau menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat sehingga mengancam keselamatan dirinya. Beliau membuat laporan polis semalam. 

Dalam pada itu, kata Fadhlina, pasukan peguamnya sedang mengumpulkan bukti yang pelbagai termasuk dalam bentuk hantaran dalam media sosial, perkongsian, komentar dan saluran lain-lain. 

“Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam merupakan pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Tiada timbul isu saya terpesong daripada agama.

“Tuduhan jahat, melampau, dan bersifat menghina serta takfiri tidak terlepas daripada radar pemerhatian untuk tindakan lanjut di sisi lunas undang-undang kerana ia jelas melanggar prinsip akhlak dan karamah insaniah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×