SHAH ALAM: Kerajaan negeri bercadang untuk meneliti semakan terhadap enakmen sedia ada bagi mengawal aktiviti ternakan yang dibiarkan berkeliaran seperti lembu sehingga menyebabkan kemalangan meragut nyawa.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, enakmen tersebut akan disemak selepas isu tersebut disifatkan sebagai kritikal apabila ternakan seperti lembu dibiarkan berkeliaran.
“Saya juga akan semak enakmen tersebut, mungkin denda yang terlalu kecil, kita akan perincikan untuk naikkan denda. Esok senang sikit kita hendak jaga, kalau tidak esok tuannya akan abaikan jaga lembu,” katanya pada Mesyuarat Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong berkenaan dasar pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah ternakan yang dibiarkan berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan.
Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan menjelaskan PBT mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 5(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga 12 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sekiranya didapati pemilik ternakan membiarkan ternakan berkeliaran di luar kawasan penternakan dibenarkan. Pejabat daerah dan tanah (PDT) juga boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda sebanyak RM100,” ujarnya.
ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi kemudian mengemukakan soalan tambahan berhubung isu tersebut yang meminta kerajaan negeri melihat semula fasiliti untuk menempatkan lembu-lembu berkeliaran di Kuala Langat.
Menurutnya, kewujudan fasiliti tersebut boleh menyelesaikan masalah lembu-lembu yang dibiarkan berkeliaran di luar kawasan ternakan dibenarkan.
“Di Bukit Changgang, Kuala Langat ada tempat disebut pusat ternakan ruminan yang saya kira sebab utamanya adalah untuk menempatkan lembu-lembu berkeliaran, terutama di kawasan Kuala Langat.
“Setakat ini saya dimaklumkan, walaupun lot-lot itu diagihkan tetapi masih banyak yang kosong, antaranya disebabkan tapak itu di kawasan rendah yang terdedah dengan banjir apabila hujan lebat.
“Jadi, saya tanya pandangan exco bila masalah itu dapat diselesaikan dan sebahagian di Kuala Langat itu menjadi punca kemalangan melibatkan lembu-lembu berkeliaran,” jelasnya.
Suee Lim kemudian memaklumkan akan meneliti isu tersebut bersama PBT dan pihak berkuasa lain. – UTUSAN










