JEMPOL: Seorang doktor sebuah klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini hari ini, atas tuduhan mencabul pekerjanya berusia 25 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Dr. Mohamad Amin Razaly, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa dengan memegang tangan dan meletakkannya pada kemaluan tertuduh.
Perbuatan dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di bilik rehat tingkat atas klinik swasta di Bandar Baru Serting itu, pada 19 Februari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Farahidah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan iaitu tertuduh dan ahli keluarga dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan ia di luar kemampuannya selain mempunyai dua anak yang baharu bersekolah serta bayi baharu lahir.
Menurutnya, dia juga kehilangan sumber pendapatan dan perniagaannya terpaksa ditutup serta tidak dapat menghasilkan pendapatan seperti sebelum ini.
Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dan keluarganya dilarang berhubung dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor klinik swasta di daerah ini ditangkap selepas mencabul pekerjanya. – UTUSAN










