TAPAH: Pengumuman kadar dividen 2023 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lebih tinggi, iaitu 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan shariah membuktikan prestasi dana persaraan negara semakin baik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengumuman kadar dividen itu juga menunjukkan jurang dividen bagi simpanan konvensional dan simpanan syariah semakin berkurangan.
“Pengumuman dividen KWSP hari ini memperlihatkan prestasi dana persaraan negara itu yang lebih baik. Nampak juga jurang dividen bagi simpanan konvensional dan simpanan syariah semakin berkurangan.
“Pulangan tinggi simpanan konvensional masih tertinggi di negara ini sementara prestasi dividen simpanan syariah amat baik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Rintis Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 Bagi Masyarakat Orang Asli Di Daerah Batang Padang, Tapah, Perak di Dewan Jelutong Hutan Lipur, Kuala Woh di sini semalam.
Amir Hamzah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP) berkata, ahli KWSP perlu sedar dana simpanan persaraan itu penting ketika negara menuju sebagai negara menua.
“Simpanan KWSP dan macam-macam simpanan lain untuk zaman persaraan satu benda yang penting. Kita kena simpan cukup untuk kita bersara kelak.
“Lebih banyak kita simpan lebih banyak compound effect (jumlah simpanan) untuk simpanan ahli,” katanya.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.5 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun kewangan 2023, dengan keseluruhan jumlah pembayaran sebanyak RM57.81 bilion.
Malaysia hanya berbaki tujuh tahun sahaja sebelum mencapai status negara menua pada tahun 2030 apabila 15.3 peratus atau kira-kira 5.8 juta daripada jumlah penduduknya mencapai usia 60 tahun dan ke atas. – UTUSAN










