SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan denda RM1,000 atau penjara satu bulan ke atas seorang wanita yang dicerai talak tiga melalui aplikasi WhatsApp selepas didapati bersalah merosakkan cermin kereta BMW milik bekas suaminya bergelar Datuk.
Majistret Sasha Diana Sabtu mendenda ibu tunggal tiga anak yang juga bekas isteri kedua seorang pakar bedah selepas berpuas hati perbuatannya merosakkan kereta mewah BMW mangsa, dilakukan dalam keadaan terdesak.
“Sekiranya pengadu (bekas suami) memberi ruang perbincangan dan mengendalikan perceraian dengan belas kasihan serta ihsan, tertuduh tidak perlu mengambil langkah terdesak seperti itu,” kata beliau.
Sasha Diana turut mengambil kira meskipun kesalahan melibatkan unsur keganasan, mahkamah mempertimbang fakta yang menunjukkan bahawa kejadian berlaku ketika mereka mengalami krisis perkahwinan.
“Perbuatan tersebut bukan sesuatu yang dirancang dengan niat untuk mencetuskan kerosakan pada permulaannya,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 13 Mac lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja melakukan khianat iaitu dengan mengetuk dan menendang cermin hadapan kereta jenis BMW 530 milik mangsa berusia 61 tahun sehingga retak dan mengalami kerugian RM5,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bukit Jelutong pukul 12.05 tengah malam 24 Julai 2020 mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sasha Diana turut berpuas hati, wanita tersebut merupakan pesalah pertama, tiada rekod menunjukkan dia pernah melakukan kesalahan lain (ketika itu) atau pesalah habitual mahupun tegar selain kejadian tersebut tidak melibatkan senjata atau objek berbahaya.
Menurut penghakiman, krisis perkahwinan bermula apabila pakar bedah itu mengahwini wanita tersebut sebagai isteri kedua pada April 2020, walaupun isteri pertama tidak menyetujuinya.
Pakar bedah sebuah hospital swasta itu kemudian meyakinkan wanita tersebut bahawa dia akan berbincang dengan isteri pertama selepas mereka berkahwin.
Namun pada 21 Julai 2020, lelaki berkenaan menghantar mesej WhatsApp dan menceraikan tertuduh dengan talak tiga.
Wanita itu juga dihubungi polis, memaklumkan bahawa laporan polis dibuat oleh bekas suaminya yang mendakwa kecurian kad akaun bank milik syarikat milik mereka.
Kecewa dengan tindakan itu, tertuduh pada 24 Julai 2020 menunggu di luar rumah bekas suaminya. Sejurus melihatnya tiba di rumah pukul 12 tengah malam, wanita itu mengetuk tingkap kereta namun mangsa yang terkejut tidak membuka pintu kereta.
“Lelaki itu cuba meninggalkan kediaman tersebut menyebabkan bekas isterinya melompat atas kereta dan merosakkan cermin depan dengan kuat sehingga retak.
“Lelaki itu mengundur BMW 530 miliknya dalam keadaan bekas isterinya masih di atas kereta sebelum memandu ke arah simpang kawasan perumahan itu,” demikian menurut penghakiman tersebut. – UTUSAN










