JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor menunggu polis melengkapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya sebelum mengambil tindakan susulan terhadap pemimpin pemuda yang terpalit dengan dakwaan kes liwat.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, antara tindakan yang dipertimbang adalah berhubung status keahliannya bersama parti.
“Kita tidak boleh jatuh hukum kepada individu terbabit selagi dia tidak dituduh dan didapati bersalah di mahkamah, kita juga perlu menghormati hak dia sebagai ahli. Jadi, buat masa ini kita biarkan proses undang-undang itu berjalan.
“Selagi dia tidak didapati bersalah atau dia sendiri mengaku bersalah, status keahliannya masih kekal, melainkan individu tersebut tidak mahu mengheret parti dan dengan sendirinya memilih untuk letak jawatan secara sukarela,” katanya hari ini.
Semalam, polis mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah, di sini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan. –UTUSAN










