KUALA KANGSAR: Seorang pekerja kilang yang menerima upah RM50,000 sebagai penghantar dadah ditahan bersama seorang rakannya dalam satu serbuan di sini semalam.
Rakan lelaki itu pula yang bekerja sebagai pendawai hanya diberi upah RM500 untuk mengedar dan menyeludup dadah tersebut yang mahu diedarkan di sekitar Perak.
Kedua-dua mereka ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM2.57 juta serta kereta milik bapa seorang daripada suspek yang digunakan untuk membawa dadah tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua suspek masing-masing berumur 31 dan 33 tahun ditahan semalam dalam operasi JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sini.
Katanya, bertindak atas maklumat, serbuan yang dilancarkan di satu kawasan di sini berjaya merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 51.5 kilogram.
“Pasukan JSJN Perak membuat pengintipan di sebuah bangunan di kawasan daerah Kuala Kangsar dan mengesan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki berhenti di kawasan tersebut.
“Ketika salah seorang penumpang turun dari kenderaan, polis meminta kedua-duanya turun untuk tujuan pemeriksaan.
“Pemeriksaan dalam bonet kereta menemukan tiga beg pakaian berzip hitam yang terdapat bungkusan disyaki methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya percaya dadah yang dirampas itu dibawa masuk dari negeri jiran sebelah utara.
Tambahnya, turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dianggarkan bernilai RM53,000, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan kenderaan berjumlah RM2.623 juta
Kok Chin berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Mac bagi membantu siasatan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dengan seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan seksyen dadah berdasarkan semakan rekod.
Tambahnya, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 500,000 penagih dadah dan sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak Disember 2023.
Beliau berkata JSJN akan terus mengesan saki baki ahli sindiket serta meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang aktiviti pengedaran dadah untuk berhubung dengan pihak polis. – UTUSAN










