PASIR GUDANG: Memadai Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh seorang untuk bercakap dan memperjuangkan isu stoking tertera kalimah Allah mewakili parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu tersebut tidak perlu dibahaskan secara berlebihan oleh pemimpin-pemimpin UMNO lain kerana ia sudah mendapat liputan meluas.
“UMNO tidak menyekat mana-mana pemimpin parti untuk bercakap dan memperjuangkan isu kalimah Allah semata-mata mahu menjaga hati parti lain dalam kerajaan perpaduan.
“Tapi takkanlah semua orang nak bercakap pula, asalkan tidak ada usaha atau tiada sesiapa pun (dari parti) menahan dia (daripada bersuara). Memang itu peranan dia sebagai Ketua Pemuda UMNO.
“Kalau semua cakap, ia akan overkill (berlebih-lebihan), biar ruang itu diambil oleh Akmal,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pemimpin UMNO ‘terikat’ dan tidak berani menyuarakan isu kalimah Allah semata-mata mahu menjaga hati parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan..
Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, memperjuangkan isu kalimah Allah itu penting untuk membangkitkan kesedaran masyarakat bukan Islam agar wujudnya sifat saling memahami dan menghormati antara kaum.
Menurutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum, penting buat semua menjaga sensitiviti dan tidak melanggar batasan bagi mewujudkan kehidupan yang harmoni.
“Penting untuk mewujudkan toleransi dan saling menghormati antara semua, bukan sahaja orang lain kena hormat orang Islam, kita juga perlu hormat orang lain.
“Dari situ kita dapat bina sebuah negara yang masyarakatnya majmuk tapi mampu hidup dalam harmoni dan muafakat,” ujarnya. – UTUSAN










